KENDERAAN dinaiki tiga kakitangan PAIP remuk.
KENDERAAN dinaiki tiga kakitangan PAIP remuk.
Shahrul Nizam Mohamad


Maran: Dua kakitangan Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) dalam perjalanan menyelesaikan urusan kerja terbunuh selepas Proton Saga dinaiki terbabas dan bertembung kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 91.5, Jalan Kuantan-Kuala Lumpur berhampiran Pekan Tajau, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 9.45 pagi, mangsa, Mohd Saiful Adley Abd Ghafar, 29, berasal dari Taman Desa Jaya, Bandar Jengka, dekat sini, dan penumpang depan, Othman Md Yusoff, 60, berasal dari Simpang Kampung Bukit Lada Awah, Chenor, di sini, meninggal dunia di tempat kejadian.

Seorang lagi penumpang belakang yang juga rakan sekerja mereka, Khairudin Mohd Razi, 36, berasal dari FELDA Kampung New Zealand, dekat sini, patah paha dan tangan.

Ketua Polis Daerah Maran Deputi Superintendan Mazlan Hassan berkata, pemandu pacuan empat roda Mitsubishi Pajero, Hamee Yusoff, 35, berasal dari Jalan Paya Pulai 3, Taman Paya Pulai, Temerloh, patah kedua-dua tangan manakala anaknya, Nur Huda Aqilah Hamee, 8, patah tangan kiri.

“Kejadian dipercayai berlaku apabila ketiga-tiga kakitangan PAIP itu dalam perjalanan ke Temerloh dari Maran untuk menyelesaikan urusan kerja sebelum kereta dipandu Mohd Saiful terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung pacuan empat roda dipandu Hamee,” katanya, di sini, semalam.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Maran yang tiba di tempat kejadian mengambil masa setengah jam mengeluarkan mayat mangsa.

Hamee bersama anak perempuannya dan Khairudin dikejarkan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh, untuk mendapatkan rawatan.

Mazlan berkata, ketika kejadian keadaan cuaca baik dan cerah manakala permukaan jalan kering.

“Polis meneruskan siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Jun 2017 @ 7:12 AM