SITI Zubaidah. FOTO Ihsan PDRM
SITI Zubaidah. FOTO Ihsan PDRM
Shahrul Nizam Mohamad


PENGURUS Teknikal dan Operasi Universiti Malaysia Pahang (UMP) maut dipercayai akibat tercampak keluar dari kenderaaan dinaiki di Kilometer 180.1 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) arah ke Kuala Lumpur dekat Maran, semalam.

Dalam kejadian 2 petang, mangsa Siti Zubaidah Kamarudin, 39, dari Kuala Terengganu meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera di kepala.

Manakala, pemandu pacuan empat roda dinaiki mangsa iaitu Mohd Nur Syahizan Yaacob, 41, tidak cedera, sementara dua lagi penumpang Mohd Raimi Saiffuddin Rohadi, 27, dan isterinya, Sherra Sabtu, 27, cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Maran Deputi Superintendan Norzamri Abd Rahman berkata, siasatan awal mendapati kenderaan dinaiki mangsa bersama tiga rakan sekerja dalam perjalanan dari Kuantan ke Kuala Lumpur.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, kenderaan dinaiki mangsa hilang kawalan selepas melanggar aliran air yang melintasi jalan lalu terbabas dan berpusing beberapa kali sebelum merempuh sebuah kereta rosak di bahu jalan.

“Akibat kemalangan itu, mangsa yang berada di kerusi penumpang hadapan tercampak keluar dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya di sini, hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Mac 2018 @ 6:52 PM