ANTARA kemalangan maut  yang berlaku di Maran termasuk membabitkan kenderaan pacuan empat roda. FOTO Ihsan PDRM
ANTARA kemalangan maut yang berlaku di Maran termasuk membabitkan kenderaan pacuan empat roda. FOTO Ihsan PDRM
RoselanAb Malek


Maran: Empat maut manakala seorang lagi parah dalam empat kemalangan berasingan dalam tempoh dua hari di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Norzamri Abd Rahman berkata, pihaknya menerima laporan kes kemalangan maut di empat lokasi berasingan antara 10 malam hingga lapan pagi pada Jumaat dan Sabtu.

"Kemalangan pertama berlaku jam 9.50 malam Jumaat lalu membabitkan sebuah motosikal dengan sebuah kereta di KM 83.5 Jalan Kuantan-Kuala Lumpur menyebabkan mangsa maut di tempat kejadian.

"Siasatan awal mendapati penunggang motosikal, Muhammad Amirrullah Abdul Raafi, 19, dari arah Temerloh menghala ke rumahnya Kampung Baru Bukit Kuin bertembung dengan sebuah kereta yang dipandu Chew Koo Ing, 61, di simpang masuk Felda Bukit Tajau, Maran," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau, berkata, kemalangan kedua membabitkan sebuah motosikal dengan treler di KM 45 Jalan Maran- Bandar Tun Abdul Razak Jengka, pada 10 pagi semalam.

Menurutnya, berdasarkan siasatan, motosikal ditunggang Muhammad Zariff Fathi Mohammad Nur, 18, dari pasar borong Jengka menghala ke Maran hilang kawalan ketika keluar simpang dan melanggar bahagian depan treler di KM 139 Lebuhraya Pantai Timur ( LPT) arah Kuantan.

Katanya, kemalangan menyebabkan Muhammad Zariff Fathi meninggal di tempat kejadian manakala pembonceng berusia 16 tahun patah kaki kanan di bawa ke Hospital Jengka untuk mendapatkan rawatan.

"Kemalangan ketiga pada Sabtu membabitkan sebuah motosikal ditunggang Yeop Abd Hamid Sallih, 70, yang terbabas sendiri dan masuk ke dalam longkang di perkampungan Felda Jengka 18.

"Mangsa meninggal dunia di Hospital Temerloh," katanya.

Norzamri berkata, kemalangan keempat membabitkan pemandu kenderaan pacuan empat roda, Lai Jia Fatt, 23, yang hilang kawalan dan melanggar treler yang diletakkan di lorong kecemasan kerana rosak.

Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia di Hospital Temerloh pada 7.29 pagi, semalam akibat komplikasi kemalangan.

Beliau, berkata semua kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan ( APJ 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 January 2024 @ 8:38 PM