Oleh Siti Nadirah Hafidzin


JIWA muda dan dunia permotoran sangat berkait rapat, mana tidaknya hampir kebanyakan remaja terutama lelaki memiliki motosikal seawal usia 16 tahun. Situasi itu menyebabkan ada yang terlalu taasub dengan motosikal hingga melakukan aktiviti tidak berfaedah seperti menghabiskan masa melepak, mengubah suai motosikal tidak mengikut undang-undang selain lumba haram.

Keadaan itu mengundang pandangan serong masyarakat yang melabel golongan terbabit sebagai mat rempit atau remaja yang tiada masa depan. Hakikatnya tidak semua remaja yang menunggang motosikal adalah mat rempit dan tidak semua juga terbabit dalam aktiviti tak bermanfaat kerana pokok pangkalnya adalah daripada hati remaja itu sendiri.

Berkongsi pengalaman, Mohammad Danish Danial Mohd Nazib, 18, berkata, dia berminat dalam dunia permotoran sejak di sekolah menengah.

“Selepas mendapat lesen, ibu dan ayah membelikan motosikal untuk memudahkan pergerakan saya berulang-alik ke sekolah memandangkan mereka sibuk dengan perniagaan.

“Disebabkan terlalu minat dengan motosikal, saya juga berkawan dengan rakan sebaya yang berkongsi minat sama. Pendek kata ketika itu saya hampir tergolong dalam kumpulan mat rempit kerana masa banyak dihabiskan dengan melepak dan ubah suai motosikal,” katanya.

Katanya, malang tidak berbau apabila dia terbabit dalam kemalangan jalan raya tahun lalu ketika keluar bersama rakan menunggang motosikal.

“Saya mengalami kecederaan parah iaitu patah di bahagian siku, lengan dan jari serta retak tulang rusuk.

“Lebih dua minggu saya terlantar di hospital akibat kecederaan itu namun saya tetap bersyukur kerana masih dipanjangkan usia,” katanya.

Berusaha mengubah diri dan tidak mahu terjebak dalam dunia mat rempit, Mohammad Danish Danial yang juga anak sulung daripada lima beradik berkata, dia bertuah kerana memiliki ibu bapa sangat memahami dan menyokong minatnya itu.

“Selepas sembuh daripada kemalangan, ayah mengajak saya menyertai dunia permotoran retro selain konvoi santai bersamanya.

“Ayah juga mengajar saya pemanduan lebih berhemah selain penjagaan motosikal retro dengan cara betul. Sejak itu juga ayah mengajak saya untuk turut menyertai konvoi santai bersamanya dan rakan,” katanya.

JIWA PADA MOTOSIKAL

Sambil tersenyum, dia mengakui minatnya pada dunia permotoran semakin mendalam apatah lagi kini sering bergandingan dengan ayahnya, Mohd Nazib Darus.

“Ayah memang orang lama dalam bidang permotoran dan ramai yang mengenalinya, namun kini ayah aktif dengan konvoi santai. Sekarang saya juga turut berkonvoi bersamanya terutama pada hujung minggu.

“Keseronokan dan kepuasan yang dirasai itu sangat berbeza. Jika dulu saya dan rakan sangat suka dengan kelajuan namun kini ia lebih kepada ketenangan serta kepuasan.

Walaupun ramai yang menyertai konvoi motosikal itu dalam kalangan golongan berusia, namun tidak mengapa asalkan saya dapat menghabiskan masa dengan menunggang motosikal, ia sudah memadai,” katanya.

Lebih menarik, Mohammad Danish Danial berkata, ibunya, Hasmira Safian turut menyertai konvoi namun memandu kereta dan mengikuti kumpulan motosikal daripada belakang.

“Ibu takut menaiki motosikal tetapi dia mahu ikut kami berkonvoi. Jadi caranya dengan mengikuti kami daripada belakang dan ia menjadikan aktiviti ini seperti satu riadah buat kami sekeluarga.

MOHAMMAD Danish Danial sekeluarga.
MOHAMMAD Danish Danial sekeluarga.

“Ada juga rakan yang hairan kerana menganggap dia mengikuti aktiviti orang tua namun saya tidak marah. Apa yang penting, sambil memenuhi minat, saya dapat meluangkan banyak masa berkualiti dengan ibu dan ayah,” ujarnya.

Baginya kini keselamatan serta kegembiraan ibu bapanya menjadi perkara paling utama.

“Biarlah apa orang nak kata asalkan saya tidak melakukan perkara salah. Saya memilih untuk berkonvoi dan ia menggembirakan ibu bapa.

“Jangan terlalu ikutkan jiwa remaja, perlu fikirkan hati ibu bapa dan keselamatan diri sendiri. Carilah apa saja aktiviti yang serasi dengan minat anda, asalkan ia tidak menyalahi undang-undang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Oktober 2019 @ 5:30 AM
MOHAMMAD Danish (tengah) ketika konvoi motosikal bersama ayah dan adiknya.
MOHAMMAD Danish (tengah) ketika konvoi motosikal bersama ayah dan adiknya.