ENJIN motosikal Honda C70 dicat berwarna-warni yang tular di media sosial. (Gambar kecil) Mohamad Azehar bersama isteri mengabdikan gambar perkahwinan bersama motosikalnya. FOTO Ihsan Pembaca
ENJIN motosikal Honda C70 dicat berwarna-warni yang tular di media sosial. (Gambar kecil) Mohamad Azehar bersama isteri mengabdikan gambar perkahwinan bersama motosikalnya. FOTO Ihsan Pembaca
Ahmad Rabiul Zulkifli


MINAT terhadap warna pelangi memberi idea kepada Mohamad Azehar Mat Siam, 28, mengubah suai warna enjin motosikal Honda C70 miliknya mengikut warna kegemarannya itu.

Kulit enjin motosikal ‘kapcai’ yang asalnya berwarna perak ditukar kepada warna merah jambu, hijau, kuning, biru dan merah, sekali gus menjadi perhatian orang ramai.

Uniknya motosikal milik Mohamad Azehar, yang menetap di Flat Sri Melaka, Cheras itu, kerana hanya kulit enjin, karburetor dan wayar sahaja berwarna-warni manakala motosikal keseluruhannya berwarna biru yang diubah suai sendiri olehnya.

Mohamad Azehar berkata, dia membelanjakan lebih RM3,000 untuk mengubah suai motosikal dibeli daripada rakannya.

“Saya memang meminati motosikal dan memiliki lapan motosikal lain antaranya Yamaha RX-Z, Yamaha 125Z dan Honda EX-5.

“Jika diikutkan saya tiada perancangan menambah koleksi motosikal sehinggalah rakan datang menawarkan untuk menjual motosikal terbiar miliknya.

“Saya simpati kepada rakan yang memerlukan wang untuk menampung perbelanjaan rawatan ibunya, sekali gus mendorong saya membeli motosikal itu dengan harga RM700 biarpun harga pasaran sekitar RM300 saja,” katanya.

Menurutnya, dia membawa pulang motosikal terbiar dan tidak boleh dihidupkan ke rumah sebelum membaik pulihnya sedikit demi sedikit.

“Berpandukan ilmu kejuruteraan dimiliki, saya mengubah motosikal mengikut cita rasa sendiri.

“Saya tak sangka idea menukarkan warna kulit enjin motosikal itu kepada warna pelangi menjadi perhatian dan menarik minat peminat motosikal lain.

“Bukan sahaja kulit enjin yang diwarnakan tetapi turut menggunakan penutup tiup tayar dan skru berwarna-warni,” katanya yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Pemeriksaan Kualiti dari Universiti Kuala Lumpur.

Menurutnya, sejak motosikal itu tular di media sosial, pengikut laman sosial Instagram didaftarkan dengan nama pisang_46 miliknya meningkat sehingga mencecah 70,100 pengikut.

“Keunikan motosikal ini memberi rezeki tambahan kepada saya apabila ramai peminat motosikal ‘custom’ menghubungi untuk mengubah suai motosikal mereka.

“Saya juga menjual pelbagai aksesori antaranya penutup skru dan nat berwarna warni berharga RM100 hingga RM120,” katanya.

Sementara itu, isterinya, Aida Syaqirah Soleh, 24, mengakui sentiasa menyokong minat suaminya ketika mengubah suai motosikal.

“Minat suami terhadap motosikal tidak mendorong dia menyertai aktiviti tidak sihat seperti lumba haram tetapi lebih kepada mencantikkan kenderaan selain menyertai pertandingan ‘autoshow’.

“Apabila keunikan motosikal mula tular di media sosial, ia membuka peluang kepada suami menambah sumber pendapatan keluarga dengan berniaga dan menawarkan kepakarannya mengubah suai motosikal,” katanya.

Menurutnya, suaminya terlalu sayangkan semua koleksi motosikal terutama kapcai berkenaan sehingga menjadi kenangan manis ketika pada hari persandingan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2019 @ 4:50 PM