ANGGOTA polis mengumpul bukti dalam kes pecah 10 kereta di Taman Sri Murni, Seksyen 30, Shah Alam, hari ini. FOTO Mohd Asri Saifuddin Mamat
ANGGOTA polis mengumpul bukti dalam kes pecah 10 kereta di Taman Sri Murni, Seksyen 30, Shah Alam, hari ini. FOTO Mohd Asri Saifuddin Mamat
Siraj Mohd Zaini


PENDUDUK Taman Sri Murni, Seksyen 30, Shah Alam, gempar apabila kereta yang diparkir di depan rumah mereka dipecahkan penjenayah, awal pagi hari ini.

Dalam kejadian 6 pagi itu, sebanyak 10 kereta dan kenderaan pelbagai guna (MPV) dipecahkan dan mengakibatkan penduduk terpaksa menanggung kerugian akibat cermin pecah serta kehilangan barangan berharga.

Antara kereta dipecahkan termasuk Proton Exora, Proton Satria, Perodua Alza, Naza Citra, Perodua Viva dan Proton Perdana.

Penduduk, Zaki Mat Noh, 42, berkata dia hanya menyedari kejadian ketika sedang bersiap untuk ke tempat kerjanya, pada 6.40 pagi.

Katanya, cermin bahagian penumpang sebelah kiri Proton Exora miliknya dipecahkan, namun tiada barangan berharga dilarikan penjenayah.

"Saya hanya menyedari cermin dipecahkan dan pemeriksaan mendapati tiada barangan berharga dilarikan penjenayah.

"Namun, beberapa jiran lain mengadu kehilangan 'Smart Tag', kad Touch n Go dan pengecas bateri. Rata-rata mangsa lain pula hanya cermin kereta saja yang dipecahkan," katanya.

Zaki berkata, ia kejadian pertama berlaku di kawasan berkenaan sejak mula mendiaminya beberapa tahun lalu.

"Ini kejadian pecah kereta secara besar-besaran kerana sebelum ini ia tidak pernah berlaku. Hanya kejadian pecah rumah berlaku dan ia kali terakhir, dua tahun lalu.

"Saya dan beberapa penduduk sudah membuat laporan polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharuddin Mat Taib ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti suspek.

Beliau berkata, disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Mac 2018 @ 5:29 PM