LAPORAN portal berita Harian Metro, semalam.
LAPORAN portal berita Harian Metro, semalam.
Amrullah Abdul Karim


KES pergaduhan dan lari dari pusat tahfiz membabitkan pelajar di Maahad Tahfiz Al Kholidi, Kampung Hulu Kalong, Hulu Yam, Bukit Beruntung, bukan pertama kali berlaku.

Mudir Maahad Tahfiz Al Kholidi, Yunus Kamaruddin berkata, sejak pusat tahfiz itu dibuka pada 2008, beberapa kes pergaduhan dan pelajar lari dilaporkan berlaku, namun bukan disebabkan perbuatan buli seperti yang berlaku terhadap seorang pelajar lelaki, kelmarin.

"Ada berlaku juga (pergaduhan) sebelum ini. Bila kita dapati kes pergaduhan berlaku, kita akan terus siasat.

"Ini bukan kali pertama berlaku. Lari dari pusat tahfiz pernah berlaku sebelum ini, tapi bukan buli.

"(Unsur) buli tak berapa jelas sebab bila kita siasat dengan pelajar, perkara itu tidak berlaku. Pergaduhan pula atas pelbagai sebab. Kita siasat puncanya dan selesaikan," katanya.

Kelmarin, Syed Khairun Hazim Syed Husain, 13, mendakwa mengalami kecederaan pada tisu pinggang sebelah kiri, koyak tisu kaki kanan dan lebam di beberapa bahagian badan akibat diterajang dan tumbuk dua senior berusia 14 tahun.

Kejadian buli itu berlaku hampir setiap hari sejak hari ke 41 Hazim belajar di pusat tahfiz itu sehingga dia nekad lari jam 4.30 pagi Sabtu lalu.

Yunus berkata, kes itu kini dalam siasatan pihak polis dan menjadi kewajipan pihak pengurusan tahfiz untuk memastikan perkara seumpama itu tidak berulang.

Menurutnya, beliau bertanggungjawab memastikan kepercayaan ibu bapa yang menghantar anak ke Maahad Tahfiz Al Kholidi dipelihara serta yakin pusat itu menjadi tempat mendidik ilmu agama dan al-Quran.

Beliau turut menghormati keputusan bapa pelajar terbabit untuk memanjangkan kes kepada pihak berkuasa dan media.

“Kami akan menambah baik sistem pemantauan pelajar termasuk mengaktifkan semula kamera litar tertutup (CCTV) di pusat tahfiz ini,” katanya.

Berita berkaitan

'Lari tahfiz tak tahan dibuli'

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Mac 2018 @ 7:13 PM