LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini
Nur Elysa Amirah Suhaimi


Kuala Lumpur: Keadaan pelajar lelaki berusia 14 tahun yang melarikan diri dari asrama sebuah sekolah asrama penuh di Cheras, di sini, selepas mendakwa dibuli semakin baik, tetapi masih trauma.

Ibu remaja itu Shuhada Jamaludin, 38, berkata anak sulung daripada tiga beradik itu masih menerima rawatan selepas dimasukkan ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) sejak 9 Disember lalu.

"Keadaan anak saya semakin stabil, tetapi masih trauma dengan kejadian yang berlaku dan perlu menjalani rawatan psikiatri.

"Anak saya sudah beransur pulih, kini lebih berselera untuk makan dan mula berinteraksi dengan orang sejak kelmarin berbanding waktu awal dimasukkan ke wad, dia hanya mahu bercakap dengan saya dan tiada selera makan.

"Dia juga ada memberitahu sudah tidak mahu bersekolah di situ dan hanya mengiyakan sahaja apabila ditanya mengenai adakah wujud unsur-unsur buli," katanya.

Shuhada berkata, ini bukan kali pertama anaknya mendakwa menjadi mangsa buli dan keluarga sedia maklum mengenai perkara berkenaan.

"Sebelum ini, anak saya pernah mengadu dibuli, tetapi dia mengambil keputusan untuk memaafkan pembuli dan meneruskan persekolahan di sekolah berkenaan.

"Keluarga menghormati keputusannya (menyambung persekolahan) kerana anak saya memiliki potensi cemerlang dalam akademik dan sekolah berkenaan juga antara sekolah yang berprestij," katanya.

Katanya, perwatakan anaknya yang pendiam dan tidak menganggu orang lain menyebabkan dirinya kesal dengan kejadian yang berlaku.

"Sebagai ibu, saya rasa sedih dan kecewa kerana saya sangat mengenali anak yang memang pendiam dan tidak suka kacau orang.

"Pada mulanya, dia sangat seronok dapat bersekolah di situ, namun dia mula menunjukkan perubahan sekitar Ogos lalu," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan kehilangan pelajar terbabit sebelum ditemui selamat di sebuah masjid di Bandar Tun Razak, Cheras.

Berita berkaitan:

KPM siasat dakwaan pelajar lari dari sekolah akibat dibuli

Sekolah diarah sedia laporan lengkap insiden buli pelajar lari asrama

Pelajar sekolah asrama penuh larikan diri akibat dibuli

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Disember 2023 @ 2:26 PM