FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Zuliaty Zulkiffli


Sungai Petani: Tiga pelajar lelaki sebuah maahad tahfiz di Pinang Tunggal, di sini, yang dilaporkan melarikan diri dari asrama, semalam ditemui semula di rumah keluarga rakan mereka di Alor Setar.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, mereka berusia 12, 13 dan 16 tahun itu dipercayai melarikan diri kerana tidak boleh menghafaz al-Quran.

Menurutnya, pihaknya menerima laporan daripada warden asrama memaklumkan tiga pelajar terbabit tiada pada 4.45 pagi semalam hingga menimbulkan kebimbangan.

Katanya, hasil pemeriksaan pada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) pusat tahfiz itu mendapati mereka dipercayai keluar dari situ pada 4.30 pagi.

"Kerana bimbangkan keselamatan tiga pelajar berkenaan, warden asrama terbabit membuat laporan polis sejurus selepas itu.

"Siasatan awal polis mendapati ketiga-tiga pelajar itu dipercayai pergi ke rumah salah seorang pelajar di Alor Setar

"Berdasarkan keterangan, mereka mendakwa melarikan diri dari asrama kerana tidak boleh membuat hafazan al-Quran. Tiada kejadian dera atau buli terhadap mereka," katanya.

Menurutnya, ketiga-tiga pelajar berasal dari Alor Setar, Kuala Nerang dan Sungai Lalang, di sini, belajar di pusat tahfiz itu sejak setahun lalu.

"Mereka bertiga tidak minat belajar di maahad tahfiz berkenaan dan ingin bertukar ke pusat tahfiz lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Mac 2021 @ 2:37 PM