PENDAKI berkumpul di Laban Rata ketika berlaku gempa bumi, malam tadi. FOTO Ihsan Pembaca
PENDAKI berkumpul di Laban Rata ketika berlaku gempa bumi, malam tadi. FOTO Ihsan Pembaca
Suzianah Jiffar; Junaidi Ladjana; Mohd Izham Unnip Abdullah dan Avila Geraldine


BEBERAPA runtuhan dikesan di sepanjang laluan pendakian Gunung Kinabalu berikutan gempa bumi sederhana berukuran 5.2 skala Richter pada 9.06 malam tadi.

Pengarah Taman-Taman Sabah Dr Jamili Nais berkata, runtuhan agak besar dikesan di Kilometer (KM) 1.5 sekali gus tidak dapat dilalui.

“Pemantauan di sepanjang laluan ke puncak dari Panalaban ke Pondok Timpohon mendapati berlaku runtuhan di KM1.5 dan semua pendaki akan menggunakan laluan alternatif.

“Kakitangan Taman-Taman Sabah (TTS) akan mengawal kawasan itu bagi memastikan tiada pendaki melalui laluan asal.

“Runtuhan kecil juga berlaku di Carson Fall tetapi masih boleh dilalui," katanya dalam kenyataan di Kota Kinabalu, malam ini.

Menurutnya, runtuhan turut berlaku di bahagian menghadap Kampung Mesilau, Kundasang dan di belakang Tunku Abdul Rahman Peak, tetapi dipercayai jatuh ke arah Low's Gully.

Katanya, beberapa gegaran susulan turut dirasai di Gunung Kinabalu dengan yang terbaru berukuran 3.2 skala Richter pada 10.53 malam tadi.

“Bagaimanapun, tiada sebarang kecederaan kepada pelancong atau kerosakan kepada bangunan penginapan di gunung.

“Semua pendaki, malim gunung, porter, kakitangan Sutera Sanctuary Lodge, Mountain Torq, kontraktor dan kakitangan TTS seramai 209 orang turun ke Pondok, malam ini dan menginap di Taman Kinabalu,” katanya.

Berita berkaitan

[UPDATE] 130 pendaki turun malam ini

[UPDATE] 'Rumah bergegar, lampu bergoyang'

[UPDATE] Ini gegaran baru

Gempa bumi melanda lagi...

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Mac 2018 @ 12:13 AM