SHAMSUL Anuar (belakang, tengah) dan Zulkefli bergambar bersama penerima bantuan di Kompleks Uthmaniyah, Kampung Pulai Lima, Pasir Puteh, semalam. FOTO Azlan Hafeedz
SHAMSUL Anuar (belakang, tengah) dan Zulkefli bergambar bersama penerima bantuan di Kompleks Uthmaniyah, Kampung Pulai Lima, Pasir Puteh, semalam. FOTO Azlan Hafeedz
Rizanizam Abdul Hamid


SERAMAI 2,600 individu terdiri ibu tunggal, murid dan veteran UMNO menerima sumbangan lebih RM160,000 daripada Biro Kebajikan UMNO (BiKUM) di bawah Program Jelajah UMNO Bantu Rakyat 2.0, semalam.

Pengerusi BiKUM Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, program itu menyasarkan penerima kalangan keluarga miskin, ibu tunggal dan anak yatim yang menerima sumbangan untuk membuka akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional 1Malaysia (SSPN1M).

"Ini membuktikan, UMNO dan Barisan Nasional (BN) adalah parti yang boleh menjaga keharmonian rakyat, yang mampu merancang untuk kebaikan masa depan anak-anak kita.

"Sebab itu untuk memastikan kerajaan yang baik, rakyat perlu memilih parti yang terbukti dapat menjaga agama, ekonomi, akal dan keturunan dengan baik dan bukannya suka-suka memihak kepada parti lain yang bercelaru dalam banyak perkara," katanya ketika berucap pada program berkenaan.

Perasmian program yang berlangsung di Dewan Kompleks Uthmaniyah, Kampung Pulai Lima, Pasir Puteh disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selising Zulkefli Ali.

Sementara itu, ibu tunggal Mazura Mohd Noor, 40, berkata dia terkejut apabila diberitahu menerima bantuan kerana tidak pernah mendapat bantuan sebelum ini.

"Mulanya saya ingatkan ianya gurauan kerana tidak pernah dapat bantuan apatah lagi sumbangan dibuat pada waktu malam, berbeza kebiasaanya di sebelah siang.

"Tapi bila sampai di sini malam ini, saya gembira kerana ianya betul dan dapatlah sumbangan itu digunakan untuk perbelanjaan dua anak berusia 15 dan 19 tahun," katanya.

Program Jelajah UMNO Bantu Rakyat 2.0 kali ini membabitkan penyertaan seramai 35 sukarelawan BiKUM dari Kuala Lumpur untuk mengagihkan sumbangan kepada kira-kira 6,000 penerima bantuan di Kelantan.

Siri jelajah konvoi diketuai Shamsul Anuar bersama 10 pacuan empat roda itu dijadual ke Kuala Krai, hari ini diikuti Bachok dan Jeli.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Mac 2018 @ 12:15 AM