Mohd Husni Mohd Noor dan Suhaila Shahrul Annuar


Putrajaya: Usaha membanteras hadis palsu (hadis maudhu’) tidak hanya tertumpu kepada penerbitan bercetak sahaja sebaliknya perlu dilakukan menyeluruh kepada pelbagai medium lain termasuk media sosial.

Timbalan Perdana Menteri, berkata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau mahu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran (PQ), Kementerian Dalam Negeri (KDN) memantau semua jenis medium penerbitan bagi mengesan aktiviti penyebaran hadis palsu di Malaysia.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, penerbitan bercetak mudah dipantau kerana setiap buku diterbitkan perlu mempunyai permit dan pastinya mudah ditarik balik dari pasaran.

“Namun apa yang paling sukar adalah hadis palsu itu disebarkan penceramah. Ada seorang penceramah ini, saya tak mahu sebut nama, dulu dia seorang pemain gitar utama sebuah kumpulan rock. Ya, memang ceramah dia merujuk kepada sumber hukum, tetapi tafsirannya berbeza.

“Dia mempunyai pengikut ramai dan pengikutnya taasub. Ini menyebabkan berlakunya amalan yang salah dalam masyarakat,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Garis Panduan Penulisan dan Penerbitan Teks Hadis & Wacana Kawal Selia Hadis Siri II di sini, semalam.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Ketua Setiausaha KDN Datuk Seri Alwi Ibrahim dan Ketua Pengarah JAKIM Tan Sri Othman Mustapha.

Ahmad Zahid berkata, individu berkenaan harus sedar bahawa bahan sumber hukum tidak harus ditafsir dengan tafsiran sendiri.

Menurutnya, penceramah fizikal boleh ditegur dan mungkin tauliahnya boleh ditarik.

DR Ahmad Zahid melancarkan Garis Panduan Penulisan dan Penerbitan Teks Hadis & Wacana Kawal Selia Hadis Siri II di Putrajaya sambil diperhatikan (dari kiri) Dr Asyraf, Jamil dan      Alwi.
DR Ahmad Zahid melancarkan Garis Panduan Penulisan dan Penerbitan Teks Hadis & Wacana Kawal Selia Hadis Siri II di Putrajaya sambil diperhatikan (dari kiri) Dr Asyraf, Jamil dan Alwi.

“Apabila hadis palsu diberi tafsiran salah dan dicampur lawak jenaka, daya tarikannya menjadi luar biasa...ia sekali gus merosakkan imej Islam dan memecahkan umat Islam,” katanya.

Justeru, beliau berkata, bagi mengelakkan perkara itu, JAKIM dan PQ bukan sahaja perlu memainkan peranan proaktif, malah membantu memperbetulkan situasi dan kembali ke landasan yang sebenar.

Katanya, perkara yang tidak menjadi amalan Rasulullah dan dianggap bidaah harus diketepikan kerana dikhuatiri amalan itu menjadi ikutan generasi akan datang dan perpecahan ummah akan lebih ketara jika tidak dibendung.

Dalam pada itu, beliau berkata, golongan ulama pelbagai institusi termasuk daripada institusi pondok, institut pengajian tinggi dan kepemimpinan ulama perlu memainkan peranan bersama bagi membanteras isu hadis palsu berkenaan.

“Saya juga mahu penulis dan penceramah tidak mengheret pengikut mereka untuk terus terpesong dan terjerumus dalam tafsiran salah hadis palsu ini,” katanya.

Terdahulu, Ahmad Zahid melancarkan Garis Panduan Penulisan dan Penerbitan Teks Hadis bertujuan mengawal selia penulisan hadis di dalam penerbitan khususnya bagi mengekang hadis palsu.

Garis panduan itu akan menjadi panduan dan rujukan kepada penulis, pengarang dan penerbit teks dalam menyemak, menilai, memetik dan merakamkan hadis dalam sebarang penulisan serta bermatlamat mendidik masyarakat dengan budaya Semak Hadis Sebelum Sebar, sekali gus mengelak menyebarkan hadis palsu secara tidak sengaja.

Pada majlis itu, dua kertas kerja dibentangkan masing-masing oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri bertajuk, Konsep Berinteraksi dengan Hadis Nabawi dan Pengerusi Lajnah Tahqiq Hadis, Dr Abdul Hayei Abdul Sukor menerusi tajuk Sabda Palsu Ancam Keselamatan Umat Islam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Februari 2018 @ 4:45 AM