AHMA Zahid Hamidi. FOTO Yazit Razali
AHMA Zahid Hamidi. FOTO Yazit Razali
Siti A'isyah Sukaimi


Putrajaya: Garis Panduan Penerbitan Teks Hadis serta Garis Panduan Penyemakan dan Penilaian Hadis sedang disiapkan bagi menjaga kesahihan teks hadis sekali gus mengawal penyebaran hadis maudu' (palsu) dalam masyarakat khususnya melalui penerbitan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara berkenaan susulan daripada Mesyuarat Jemaah Menteri Menteri pada 22 Disember tahun lalu yang memutuskan fungsi penapisan dan penyemakan hadis dilaksanakan melalui Jawatankuasa Penyemakan dan Penilaian Hadis.

"Pengawalan dan penyemakan akan dibuat terhadap penerbitan termasuk al-Quran terjemahan dan tafsir, kitab hadis, buku agama dan bahan bercetak lain bagi mengawal penyebaran hadis maudu' dalam penerbitan terutama yang boleh membawa penyelewengan akidah, menjejaskan keharmonian dan ketenteraman awam.

"Bagi peringkat awal, kawalan hadis akan dilakukan mengguna pakai Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan untuk jangka panjang, usaha perlu dilakukan dengan mewujudkan akta khusus dalam mengawal hadis sebagaimana Akta Percetakan Teks al-Quran (APTQ) 1986," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu adalah selepas beliau mempengerusikan Majlis Perjumpaan Ahli Lembaga Pengawalan dan Perlesenan Percetakan Al-Quran (LPPPQ) di Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini.

Terdahulu, Pengerusi LPPPQ Tan Sri Harussani Zakaria dalam sidang media berkata, Jawatankuasa Penyemakan dan Penilaian Hadis itu dijangka ditubuhkan pada pertengahan tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Mac 2016 @ 8:25 PM