FOTO NSTP/Asyraf Hamzah
FOTO NSTP/Asyraf Hamzah
Mohd Ajib Ismail

Dakwah bermaksud panggilan kepada kebenaran atau seruan mentauhidkan Allah SWT.

Hala tuju dakwah adalah bagi menjadikan masyarakat terbaik serta umat tertinggi, terkuat dan termulia dalam kalangan umat lain.

Firman Allah dalam Surah Ali Imran, ayat 110 bermaksud: “Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar dan beriman kepada Allah. Sekiranya Ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka, di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik.”

Nabi Muhammad SAW memberi contoh pendekatan dakwah kepada umatnya dengan pelbagai cara sama ada melalui lisan, tulisan atau perbuatan.

Dakwah melalui lisan adalah pendekatan seperti ceramah atau sebarang bentuk komunikasi langsung antara pendakwah dan masyarakat.

Salah satu cara dakwah melalui lisan adalah seperti yang disampaikan melalui khutbah Jumaat kepada masyarakat pada setiap minggu.

Pada hari berkenaan, umat Islam memenuhi masjid menunaikan solat Jumaat serta mendengar khutbah.

Penyampaian khutbah dan teksnya memainkan peranan besar bagi menghasilkan khutbah yang menarik.

Biarpun teks khutbah baik, namun boleh menjadi tidak menarik apabila disampaikan khatib yang tidak menjiwainya, apatah lagi jika disampaikan tanpa persediaan.

Justeru, ciri-ciri khutbah yang baik bergantung kepada khatib yang menyampaikan, topik yang dibicarakan, wujud unsur teguran, gaya penulisan yang menepati kaedah bahasa yang betul serta tarikan melalui persoalan yang dapat mengetuk hati pendengar berfikir.

Di Wilayah Persekutuan khususnya, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) menyediakan teks khutbah yang ditulis pakar dan ilmuwan dari pelbagai bidang termasuk pensyarah universiti, pegawai agama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jabatan Agama Islam Negeri (Jain), institusi kewangan serta pegawai Jawi sendiri.

Teks khutbah disediakan berdasarkan isi dan fakta melalui bengkel penyediaan khutbah serta mengikut beberapa dokumen panduan seperti Garis Panduan Penulisan Teks Khutbah Jawi dan Manual Panduan Penyediaan Teks Khutbah dan Khutbah Multimedia 2007.

Prosedur penyediaan teks khutbah Jumaat, Jawi misalnya menggariskan beberapa peringkat yang perlu dilalui sebelum sesuatu teks khutbah diterbitkan.

Ini termasuk pemilihan tajuk khutbah sepanjang tahun, bengkel sinopsis khutbah, penulisan oleh panel penulis teks khutbah, menaip dan menjawikan teks khutbah, semakan teks khutbah oleh panel penyemak, pengesahan oleh Bahagian Pengurusan Masjid, kelulusan pejabat mufti, bacaan pruf dan pengesahan akhir, cetakan dan pembukuan, edaran serta bacaan di atas mimbar.

Selain itu, hadis sahih digunakan sebagai hujah, di samping keizinan menggunakan hadis daif sebagai pendorong mendapatkan kelebihan beramal.

Tempoh masa dan jumlah halaman teks turut dikawal supaya khutbah tidak terlalu panjang.

Jawi turut menerima draf teks khutbah daripada agensi seperti Kementerian Wilayah Persekutuan, Agensi Antidadah Kebangsaan, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Waqaf, Zakat & Haji dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Teks khutbah yang disediakan disemak Jawatankuasa Penyemakan Khutbah Jawi sebelum dikemukakan untuk kelulusan.

Isi kandungan khutbah disediakan selaras prinsip Maqasid Syariah yang menekankan aspek penjagaan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.

Bagi membudayakan keharmonian dalam masyarakat, Jawi komited menerapkan isu perpaduan dalam masyarakat berbilang kaum melalui medium khutbah.

>>Penulis Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi)

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Oktober 2019 @ 9:11 AM