ANGGOTA polis memeriksa mayat lelaki yang ditemui di tepi jeti LKIM di Sungai Geting dekat Tumpat, hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
ANGGOTA polis memeriksa mayat lelaki yang ditemui di tepi jeti LKIM di Sungai Geting dekat Tumpat, hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Siti Rohana Idris


“SAYA sangkakan buah kelapa, rupa-rupanya kepala orang," kata Nik Muhd Saffiq Abdul Aziz yang menemui mayat di Sungai Geting berhampiran Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Tumpat, hari ini.

Nik Muhd Saffiq, 30, yang juga seorang pengusaha bot mendapati mayat seorang lelaki dalam keadaan meniarap di dalam sungai, ketika ditemui pada 12 tengah hari.

"Saya ternampak satu objek kira-kira 10 meter dari tebing dan menyangka ia sebiji buah kelapa.

"Saya terus memerhatikan objek itu dan ternampak badan manusia yang berbaju merah sebelum teringatkan seorang awak-awak warga Thailand yang kerap ditemui di jeti dan terus memaklumkan kepada pengurus LKIM.

"Untuk memastikan sama ada betul atau tidak mangsa itu lelaki warga Thailand, saya segera memeriksa bot yang menjadi tempat tinggal mangsa, namun dia tiada," katanya ketika ditemui di lokasi.

Difahamkan, mangsa yang dikenali sebagai Khamwang Sutawa, 56, sudah lebih lima tahun bekerja sebagai awak-awak dengan pengusaha bot tempatan dan kali terakhir dilihat pada 6 petang semalam dengan memakai baju berwarna merah.

Mangsa ditugaskan menjaga bot yang sudah hampir sebulan dibaiki dan dalam proses pembaharuan lesen.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat Superintendan Ab Rashid Mat Daud mengesahkan menerima laporan berkenaan penemuan mayat itu.

Mayat kemudian dibawa ke Hospital Tumpat untuk bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Februari 2018 @ 6:15 PM