Laporan portal berita Harian Metro sebelum ini
Laporan portal berita Harian Metro sebelum ini
Hamzah Osman


MAYAT awak-awak Thailand yang juga mangsa bot nelayan hilang di perairan Pulau Rebak, Langkawi 7 Mei lalu ditemui hari ini.

Bagaimanapun tiga lagi rakannya yang menaiki bot sama masih hilang dan usaha mengesan awak-awak terbabit diteruskan majikan mereka.

Pengarah Maritim Wilayah Utara Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Laksamana Pertama Maritim Rozali Mohd Said berkata, mayat ditemui terapung pada kedudukan 3.5 batu nautika di Barat Pulau Langkawi, 2 petang.

“Satu mayat timbul di permukaan air ketika kerja menunda dilakukan oleh pemilik bot ke tempat cetek untuk diapungkan.

“Awak-awak yang mayatnya ditemui itu dipercayai terperangkap di dalam bot ketika bot dinaiki karam akibat dipukul ribut,” katanya dalam kenyataan.

Rozali berkata, Sub-Pusat Menyelamat Maritim (MRSC) Langkawi operasi mencari dan menyelamat (SAR) dihentikan pada 7.30 malam, 11 Mei lalu.

“SAR yang disertai Maritim Malaysia, Pasukan Polis Marin, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan bot nelayan dihentikan selepas empat hari dilancarkan kerana tidak menemui sebarang petunjuk.

“Mayat mangsa dibawa ke jeti Maritim Malaysia di Bukit Malut di sini, sebelum diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan empat awak-awak warga Thailand dikhuatiri hilang selepas bot nelayan kelas C dinaiki mereka untuk memukat ikan dipukul ribut berhampiran Pulau Rebak.

Berita berkaitan

[UPDATE] Bot nelayan hilang sudah ditemui

Empat hilang bot dipukul ribut

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mei 2019 @ 10:15 PM