KUCHING 29 APRIL 2021. Anggota bomba membawa mayat nelayan yang ditemui lemas di Sarikei, hari ini. NSTP/IHSAN JBPM
KUCHING 29 APRIL 2021. Anggota bomba membawa mayat nelayan yang ditemui lemas di Sarikei, hari ini. NSTP/IHSAN JBPM
Mohd Roji Kawi


Kuching: Nelayan terjatuh ke dalam sungai ketika tidur di atas bumbung bahagian belakang kapalnya di Sungai Rajang, di Sarikei kelmarin, ditemui lemas hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei, Mahmudin Narudin berkata, mayat mangsa, Muhd Imran Najmi Mokhtar, 18, ditemui orang awam, 11.30 pagi tadi, kira-kira 100 meter dari lokasi dia terjatuh.

Beliau berkata, mayat kemudian dibawa ke Terminal 2 Sarikei sebelum dihantar ke Hospital Sarikei untuk tindakan lanjut.

Kehilangan mangsa yang berasal dari Belawai, dalam Bahahian Mukah itu hanya disedari rakannya yang terbangun kira-kira 12 tengah malam, kelmarin.

Sebelum kejadian itu, mangsa berehat di belakang kapal itu selepas mereka memunggah pukat pada 7 malam dan semua awak-awak diarah tidur awal kerana mereka akan memasang pukat semula pada awal pagi.

Selepas menyedari kehilangannya, mereka menghubungi rakan di kapal nelayan lain yang berlabuh berdekatan untuk bersama-sama melakukan pencarian.

Selang beberapa jam mencari, mereka menemui selimut mangsa hanyut di permukaan air sekali gus mengesahkan mangsa jatuh ke dalam sungai.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan 7 pagi semalam membabitkan lima anggota daripada BBP Sarikei serta tiga anggota Pasukan Polis Marin (PPM) dibantu empat anggota Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), tiga anggota Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) serta 10 orang nelayan tempatan.

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 April 2021 @ 2:21 PM