AMIRUL (kiri) bersama Naib Presiden Bahagian Perniagaan Sukan Astro Lee Choong Kay. FOTO Hazril Md Nor
AMIRUL (kiri) bersama Naib Presiden Bahagian Perniagaan Sukan Astro Lee Choong Kay. FOTO Hazril Md Nor
Hazril Md Nor


“SAYA berbangga dapat mewakili Malaysia dan Asia Tenggara sekali lagi untuk kejohanan berprestij FIFA 18. InsyaAllah, saya akan buat yang terbaik kali ini,” kata Nur Amirul Afandi, 22, yang memenangi kelayakan Virtuelle Bundesliga peringkat Asia Tenggara di Petaling Jaya, hari ini.

Amirul yang juga pemain professional Fire Dragoon FIFA membawa pulang wang tunai RM3,000 dan layak ke final Virtuelle Bundlesliga yang akan diadakan di Dortmund, Jerman pada 31 Mac dan 1 April ini selepas menewaskan wakil Singapura, Muhammad Syakir Abdul Rauf.

Sebelum ini, Amirul pernah menyertai kejohanan dunia Esports World Convention (ESWC), dua tahun lalu namun kecundang di peringkat awal.

“Pada masa itu, saya ada masa selama seminggu saja untuk berlatih. Kali ini, saya mempunyai masa lebih kurang sebulan dan akan gunakan sebaiknya untuk lebih bersedia ke Jerman nanti.

“Boleh dikatakan pemain luar amat berpengalaman dan kejohanan ini menggunakan format FIFA Ultimate Team (FUT), berbeza dengan apa yang saya pelajari sekarang. Saya kena biasakan dengan mod ini mulai hari ini,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Fire Dragoon FIFA Muhamad Nidzam Amran, 26, berkata dia akan memastikan Amirul mendapat latihan secukupnya.

“Di Fire Dragoon, kami menitikberatkan latihan kepada pemain profesional kami agar mereka lebih bersedia untuk bermain di kejohanan luar.

“Saya sendiri bangga dengan Amirul kerana layak ke Eropah sekali lagi. Bagi menghadapi kejohanan itu, Amirul akan menjalani latihan bersama Luqman (Fenrir) kerana dia pernah bermain FUT untuk jangka masa agak lama,”’ katanya.

Menurutnya, Fire Dragoon ada mempertimbangkan jurulatih bagi persiapan Amirul, namun ia agak sukar memandangkan tiada pemain veteran yang layak menjawat jawatan itu dalam industri e-sukan FIFA di Malaysia.

Kelayakan Virtuelle Bundesliga peringkat Asia Tenggara dianjurkan oleh Astro eGG Network dengan kerjasama FOX Sports Asia di pusat e-sukan, Battle Arena di Petaling Jaya dan mengumpulkan seramai 256 pemain dari Asia Tenggara yang mendaftar.

Virtuelle Bundesliga juga tergolong dalam siri Global oleh EA Sports yang mengumpulkan pemain FIFA dari seluruh dunia berentap untuk layak ke kejohanan dunia FIFA eWorld Cup.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Februari 2018 @ 9:17 PM