NUR Amirul wakil tungggal Asia Tenggara ke kejohanan FIFA 18 Tag Heuer Virtuelle Bundesliga. FOTO ihsan Nur Amirul Afandi
NUR Amirul wakil tungggal Asia Tenggara ke kejohanan FIFA 18 Tag Heuer Virtuelle Bundesliga. FOTO ihsan Nur Amirul Afandi
Hazril Md Nor


“Berat hati saya untuk tinggalkan nenek yang berada di wad akibat kemalangan tapi dia yang menjadi pemangkin semangat untuk saya buat yang terbaik.”

Begitulah kata Nur Amirul Afandi, 22, satu-satunya anak Malaysia yang juga wakil tungggal Asia Tenggara ke kejohanan FIFA 18 Tag Heuer Virtuelle Bundesliga di Dusseldorf, Jerman, Sabtu ini.

Amirul atau nama gelarannya AmTuah layak ke kejohanan itu selepas menjuarai wild card dalam kelayakan Tag Heuer Virtuelle Bundeslita Asia Tenggara, Februari lalu.

“Pada Isnin lalu, nenek kemalangan kerana terjatuh di ruang tamu. Saya kebetulan sedang menjalani latihan dan hanya mendapat tahu apabila abang menghubungi saya.

“Dia patah tulang pinggul dan tulang peha. Semalam saya sempat melawat nenek di wad Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). Alhamdulillah, dia berada dalam keadaan sedar dan memberitahu saya tak ada apa perlu dirisaukan.

Menurut Amirul, neneknya, Che Sani Kasim, 74 sentiasa memberi sokongan padanya sejak permulaan karier dan dia banyak bercerita mengenai kerjayanya dalam e-sukan.

“Selain keluarga dan rakan-rakan, nenek adalah insan rapat yang saya mudah bercerita. Walaupun kali ini berat hati nak tinggalkannya sebelum menjalani pembedahan pada Jumaat ini, saya akan gagahkan juga untuk banggakan nenek.

“Saya nak buktikan pada nenek kerana dia menaruh harapan kepada saya untuk menang. Begitu juga keluarga yang tak henti memberi sokongan. Saya akan buat yang terbaik,” katanya.

Ketika ditanya mengenai persiapannya, Amirul berkata, dia sudah pun bersedia dan membuat latihan dari segi mental dua minggu sebelumnya.

“Waktu kejohanan di Paris dulu, persiapan mental memang tak cukup. Sekarang saya bersedia dengan latihan berterusan selama beberapa jam untuk kekal fokus kerana sebelum ini mudah hilang tumpuan dan terlebih yakin.

“Tipulah kalau tak ada rasa berdebar berdepan pemain lain lebih berpengalaman. Tapi saya anggap itu semua cabaran untuk berjaya dan satu semangat bagi mengharumkan Malaysia di persada dunia,” katanya yang dijangka berlepas ke Jerman, malam ini.

Dia akan bertanding dengan 11 lagi pemain di konsol PlayStation 4 untuk merebut hadiah wang tunai terkumpul £50,000 (RM241,228). Kejohanan ini juga menjadi satu cabaran baru buatnya kerana perlu mahir dalam mod FIFA Ultimate Team yang digunakan untuk format kejohanan.

Sementara itu, Pengasas Gamesbond, Fazli Razak berkata, pihaknya akan membantu menguruskan perjalanan Amirul di sana.

“Amirul baru saja keluar daripada organisasi yang diwakilinya sebelum ini, jadi kami membantu mana yang patut untuk membolehkan dirinya bertanding tanpa ada masalah.

“Saya pun mendapat tahu ada kelab bola sepak antarabangsa yang akan menghantar wakil pemain e-sukan untuk kejohanan ini. Jadi ini satu peluang bagi Amirul untuk dilamar memasuki kelab profesional e-sukan jika ada tawaran,” katanya.

Tag Heuer Virtuelle Bundesliga adalah kejohanan tahunan yang diadakan sejak 2012 bagi mempromosikan Liga Bundesliga (Jerman) di seluruh dunia.

Bagi tahun ini, ia dinaik taraf menjadi satu daripada kelayakan ke FIFA eWorld Cup (FeWC) yang mana pemenangnya layak secara automatik untuk menyertai pusingan kelayakan terakhir sebelum bertanding di FeWC.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Mac 2018 @ 10:44 PM