Aiman  (kiri) dan Aaron (tiga dari kiri) bersama ahli pasukan Fire Dragoon Esports FOTO Hazril Md Nor
Aiman (kiri) dan Aaron (tiga dari kiri) bersama ahli pasukan Fire Dragoon Esports FOTO Hazril Md Nor
Hazril Md Nor

Johor Bahru: "Saya mahu buktikan Malaysia boleh!" kata Nor Aiman Nor Azham, 23, kapten pasukan Fire Dragoon Esports yang menyertai Kejohanan Counter Strike: Global Offensive  (CS:GO) Minor Asia di Pinewood  Iskandar Studios, dekat sini, hari ini.

Aiman bersama empat lagi rakan sepasukannya, Ashraf Firdaus, Alex Pereira, Aaron Pereira dan Andrew Khong layak ke ke kejohanan itu selepas melepasi pusingan kelayakan sebelum ini.

Menurutnya, kejohanan kali ini lebih mencabar apabila pasukan ranking tertinggi Asia Tenggara mengambil bahagian.

"Saya akui sangat berdebar untuk berdepan dengan pasukan pilihan iaitu Tyloo dan Renegades. Mereka mempunyai rekod yang konsisten dalam pertandingan.

"Bagaimanapun dengan kehadiran Aaron (abang kepada Alex), saya yakin pengalamannya sebagai jurulatih sebelum ini sangat meyakinkan kami untuk menang dalam pertandingan kali ini.

"Harapan saya adalah mengharumkan nama negara dan menempah slot percuma ke kejohanan utama ELEAGUE di Studio Turner, Atlanta," katanya.

Sementara itu, Aaron yang kini menggalas tugas sebagai pemain kelima pasukan itu turut menyatakan hasratnya untuk membawa kejayaan kepada Fire Dragoon Esports.

"Kehebatan pasukan pilihan dari China dan Australia memang tak dapat disangkal. Justeru, saya akan memastikan mereka (Aiman dan yang lain) menggunakan strategi berkesan kali ini," katanya.

Kejohanan CS:GO Minor Asia membabitkan 8 pasukan iaitu dari Indonesia, Australia, China, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Korea Selatan serta Malaysia dan menawarkan hadiah wang tunai terkumpul  AS$50,000 (RM210,000).

Ia adalah kejohanan e-sukan pertama dianjurkan PGL di Malaysia dengan kerjasama Astro eGG Network.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Oktober 2016 @ 11:22 AM