NUR Amirul menunjukkan replika cek dan medal yang dimenanginya.
NUR Amirul menunjukkan replika cek dan medal yang dimenanginya.
NUR  Amirul ketika latihan dengan permainan video game.
NUR Amirul ketika latihan dengan permainan video game.
Rizanizam Abdul Hamid

Petaling Jaya: Bermula dengan hobi permainan video seawal usia tujuh tahun, siapa sangka minatnya itu kini bertukar menjadi kerjaya yang bukan saja memberi pendapatan tetap setiap bulan, malah mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.

Selain itu, anak muda ini juga sudah 30 kali muncul johan dalam tempoh empat tahun dengan kejayaan terbesar mengungguli Kejohanan Sukan Elektronik Asia Tenggara (AGES 2016).

Nur Amirul Afandi, 23, berkata, dia tidak menyangka pembabitannya dalam sukan bola sepak di alam maya sejak kecil mampu menjadi kerjaya yang mendatangkan pendapatan tetap.

Menurutnya, sebelum ini dia tidak pernah menyimpan cita-cita bekerja sebagai pemain profesional sukan elektronik sebaliknya sekadar memenuhi minat mendalam di dalam sukan bola sepak.

“Sebenarnya selain di alam maya, saya juga aktif di dalam sukan bola sepak sehingga pernah mewakili sekolah ketika berusia 17 tahun.

“Waktu itu, ayah (Afandi Nordin, 46) memberi galakan tetapi selepas saya mengalami kecederaan serius ketika bersukan pada 2011, minat beralih sepenuhnya pada sukan bola sepak elektronik,” katanya ketika ditemui Harian Metro di pejabat Fire Dragoon Esport Sdn Bhd (Fire Dragoon) di sini.

Anak kedua daripada empat beradik itu berkata, ibunya, Nurhalida Abdul Latif, 45, juga menyokong minatnya itu kerana mahu dia sentiasa berada di rumah sekali gus tidak terjebak dengan aktiviti tidak sihat di kawasan sekitar.

“Ayah dan ibu memberi galakan sebab mereka mahu saya sentiasa dekat dengan mereka untuk memudahkan pemantauan daripada terbabit dengan gejala sosial.

“Selepas tamat tingkatan lima dan melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah perbankan dan kewangan Islam, saya bertambah aktif menyertai pertandingan sukan elektronik FIFA,” katanya.

Nur Amirul yang menggunakan nama AmTuah di pentas sukan elektronik berkata, selain bergelar Johan AGES 2016, antara pencapaian tertinggi di peringkat negara adalah bergelar juara Kejohanan Malaysia Cyber Games anjuran bersama Kementerian Belia dan Sukan tahun lalu.

“Sepanjang empat tahun terbabit secara serius dalam sukan pemain video profesional ini, saya berjaya menjuarai 30 kejohanan bermula dengan empat kali juara pertandingan sukan elektronik pada 2014.

“Tahun berikutnya, saya merangkul lapan kali johan dan pencapaian tertinggi adalah pada 2016 apabila menjadi 12 kali juara kejohanan sukan elektronik FIFA yang disertai.

“Manakala bagi tahun ini, saya sudah enam kali bergelar juara dengan keseluruhan wang kemenangan terkumpul RM60,000,” katanya yang kini membuat persiapan untuk menyertai Kejohanan Borneo E Arena Peringkat Asia Tenggara di Kota Kinabalu, Sabah, September ini.

Mengulas lanjut Nur Amirul yang juga bekerja sebagai pengurus kewangan di sebuah syarikat swasta berkata, mungkin disebabkan pencapaiannya itu, dia dilamar sebuah organisasi sukan elektronik Fire Dragoon bermula April lalu.

“Saya menerima tawaran itu kerana selain diberikan gaji bulanan dan elaun, pihak majikan juga menyediakan tempat tinggal dan pusat latihan kepada semua pemain video profesional yang bernaung di bawahnya.

“Peluang ini baik untuk saya mengembangkan lagi kemahiran,” katanya.

Menurut Nur Amirul, antara kenangan manis yang tidak dapat dilupakan sepanjang bergelar pemain video profesional adalah peluang beraksi pada kejohanan FIFA17 di Piala Dunia Sukan Elektronik 2016 (ESWC) di Paris, Perancis 29 hingga 31 Oktober tahun lalu.

“Kenangan itu sukar dilupakan kerana suasana budaya ‘gaming’ di sana sangat berbeza dengan Malaysia apabila permainan saya disaksikan kira-kira 600 penonton yang tidak putus-putus memberikan sokongan termasuk pihak lawan.

“Walaupun terkandas di perlawanan peringkat kumpulan, mereka tetap memuji dan pemain lain berkongsi tip untuk memperbaiki corak permainan pada masa hadapan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Ogos 2017 @ 10:15 AM