Polis menjalankan siasatan rapi termasuk pemeriksaan di 15 klinik kesihatan dan hospital swasta di daerah ini berhubung kes pembuangan mayat bayi lelaki di hadapan Masjid Pulau Ketam, Tunjang, Jitra semalam.
Polis menjalankan siasatan rapi termasuk pemeriksaan di 15 klinik kesihatan dan hospital swasta di daerah ini berhubung kes pembuangan mayat bayi lelaki di hadapan Masjid Pulau Ketam, Tunjang, Jitra semalam.
Zuliaty Zulkiffli


POLIS menjalankan siasatan rapi termasuk pemeriksaan di 15 klinik kesihatan dan hospital swasta di daerah ini berhubung kes pembuangan mayat bayi lelaki di hadapan Masjid Pulau Ketam, Tunjang, Jitra semalam.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim berkata, pemeriksaan dilakukan bertujuan mengesan rekod berkaitan wanita yang baru melahirkan anak tanpa bayi dan mencurigakan.

Beliau berkata, setakat ini tiada sebarang petunjuk untuk mengetahui individu melakukan perbuatan itu dan pihaknya percaya ia dilakukan lebih dua atau tiga orang.

"Kita percaya suspek orang luar dari daerah ini dan melakukan kegiatan itu pada tengah malam atau lewat pagi kerana pada waktu itu tiada sesiapa di masjid berkenaan.

"Siasatan polis mendapati bayi lelaki seberat tiga kilogram itu dipercayai meninggal dunia dalam tempoh 48 jam sebelum mayatnya ditemui.

"Hasil bedah siasat juga mendapati mangsa meninggal sejurus dilahirkan dan tiada kesan kecederaan lain dilaporkan," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu, di sini hari ini.

Mohd Ismail berkata, pihaknya sudah merakam keterangan semua saksi termasuk jemaah masjid yang menemui mayat bayi berkenaan untuk membantu siasatan.

Beliau berkata, setakat ini siasatan diteruskan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan dan pihaknya turut mengambil kain batik dan plastik hitam yang membungkus mayat bayi itu untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, jemaah Masjid Pulau Ketam, Abd Aziz Din, 75, saksi terawal yang menemui mayat bayi itu mencadangkan supaya masjid berkenaan dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV).

Katanya, ini kali pertama kejadian buang bayi di situ tetapi kes lain termasuk pecah tabung masjid sudah banyak kali berlaku.

"Kejadian yang berlaku semalam amat menyedihkan kerana saya melihat sendiri bagaimana mayat bayi itu ditemui hinggakan saya mengucap panjang dan sebak.

"Mujur saya sempat buka bungkusan itu kerana sebelum itu saya sangkakan plastik mengandungi sampah, jika tidak mungkin saya dah buang ke dalam tong sampah," katanya ketika ditemui hari ini.

Foto Zuliaty Zulkiffli

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Februari 2018 @ 3:59 PM