ANGGOTA polis memeriksa mayat bayi yang ditemui, semalam.
ANGGOTA polis memeriksa mayat bayi yang ditemui, semalam.
Oleh Hadzlihady Hassan

Perai: Masih ada individu yang tidak berhati perut sanggup membuang bayi dengan menyumbatnya ke dalam plastik sampah sebelum ditinggalkan di depan Masjid Al Hidayah, Jalan Baru, Permatang Pauh, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 1 petang itu, mayat bayi lelaki yang dipercayai baru dilahirkan dan masih bertali pusat ditinggalkan di atas penutup konkrit longkang sebelum ditemui orang ramai yang kemudian memaklumkannya kepada polis.

Seorang saksi yang mahu dikenali sebagai Zakiah, 45, berkata, dia menyangka plastik hitam itu mengandungi sampah, namun terkejut selepas membuka dan melihat bayi berlumuran darah di dalamnya.

“Saya sebak dan beristighfar panjang sebelum memberitahu beberapa penduduk.

“Hati saya menjadi sayu mengenangkan ada orang tergamak membuang bayi berkenaan yang bermungkinan masih hidup ketika itu,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Difahamkan, bayi itu mungkin ditinggalkan sejak awal pagi semalam di kawasan itu, namun tidak diketahui sama ada masih hidup atau sudah meninggal dunia.

Hujan lebat sejak pagi di kawasan itu juga menjadi faktor kemungkinan tiada sesiapa menyedari kewujudan plastik sampah yang mengandungi mayat bayi terbabit.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sebarang Prai Tengah Asisten Komisioner Rusli Mohd Nor berkata, polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu dan mengesan individu yang membuang bayi berkenaan.

“Bayi berkenaan disumbat dalam plastik sampah dan kemungkinan dibuang ketika awal pagi, namun kami masih menjalankan siasatan lanjut dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menghubungi balai polis berhampiran.

“Mayat bayi dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mei 2015 @ 7:27 AM