Majlis pelancaran disempurnakan Hamzah, bersama Jamil (kiri) dan Ahmad Tajuddin (dua dari kanan). FOTO/ Hayati Ibrahim
Majlis pelancaran disempurnakan Hamzah, bersama Jamil (kiri) dan Ahmad Tajuddin (dua dari kanan). FOTO/ Hayati Ibrahim
Hayati Ibrahim

SEMUA pihak yang menjual bateri sekunder perlu mematuhi Garis Panduan Pematuhan Standard Keselamatan Bateri Sekunder yang akan diperkenalkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mulai 1 Februari ini.

Bateri sekunder ialah bateri cas semula yang menghasilkan tenaga elektrik secara berterusan dalam jangka masa lama dan banyak digunakan untuk telefon bimbit, power bank, rokok elektrik, gajet permainan elektronik, komputer riba, hoverboard, flyboard dan dron.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, garis panduan ini bertujuan memberi panduan kepada pihak industri untuk mematuhi standard keselamatan yang disyorkan kementerian.

Katanya, mengikut garis panduan ini mana-mana pengimport, pengedar dan peruncit perlu memastikan bateri sekunder yang dibawa masuk atau dijual mematuhi Malaysian Standard MS IEC 62133:2017.

Menurutnya, apabila garis panduan ini berkuatkuasa kelak, bateri sekunder ini perlu diletakkan label SIRIM KPDNKK yang menandakan ia sudah mendapat pengesahan SIRIM QAS International Sdn Bhd.

“Hari ini kementerian baru memulakan program advokasi kepada pihak berkepentingan seperti pengilang, pengimport dan pembekal bateri sekunder untuk memaklumkan mengenai penggunaan garis panduan ini.

“Selepas ini, kita akan beri tempoh peralihan yang sewajarnya kepada mereka menghantar bateri sekunder untuk pemeriksaan dan mendapatkan pensijilan sebelum garis panduan ini dikuatkuasakan sepenuhnya secepat mungkin,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Pelancaran dan Advokasi Garis Panduan Pematuhan Standard Keselamatan Bateri Sekunder di Putrajaya, hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha kementerian Datuk Seri Jamil Salleh dan Pengerusi SIRIM Berhad Tan Sri Ir Dr Ahmad Tajuddin Ali.

Hamzah berkata, penguatkuasaan standard keselamatan bateri sekunder ini bertujuan mengukuhkan perlindungan kepada pengguna.

“Apabila sudah ada garis panduan sesiapa saja yang menjual (bateri sekunder) perlu memastikan produk mereka mengikut standard yang ditetapkan.

“Mana-mana pihak yang gagal mematuhi peraturan ini kelak akan dikenakan tindakan termasuk denda dan sitaan terhadap barangan mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 January 2018 @ 11:52 AM