PEGAWAI PUSPAKOM membuat pemeriksaan pemantul cahaya pada kenderaan perdagangan berat.
PEGAWAI PUSPAKOM membuat pemeriksaan pemantul cahaya pada kenderaan perdagangan berat.

Kuala Lumpur: Semua kenderaan perdagangan berat dengan muatan (BDM) 3,500 kilogram ke atas diwajibkan memasang pelekat pemantul cahaya (reflektor) pada sisi kiri dan kanan serta di belakang kenderaan mulai 1 Januari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif PUSPAKOM Sdn Bhd (PUSPAKOM), Mohammed Shukor Ismail berkata, garis panduan itu sejajar dengan pengumuman Kementerian Pengangkutan yang mewajibkan pemasangan reflektor yang mempunyai standard SIRIM MS 828:2011.

“PUSPAKOM menyediakan garis panduan piawaian pemeriksaan reflektor yang dijalankan di PUSPAKOM, sebagai rujukan untuk pemilik kenderaan berkenaan.

“Manakala untuk van dan bas pula, reflektor tersebut hanya perlu dipasang di bahagian belakang kenderaan saja,” katanya, di sini, semalam.

Menurutnya, pemasangan reflektor itu harus mengikut pelan asal kenderaan yang merujuk kepada kedudukan reflektor pada badan kenderaan.

“Selain itu, saiz reflektor yang digunakan perlu mengikut spesifikasi ditetapkan dan mempunyai tanda logo SIRIM MS 828:2011 yang sah,” katanya.

Menurutnya, pemilik kenderaan boleh melayari laman web www.puspakom.com.my untuk maklumat mengenai spesifikasi pemasangan reflektor yang ditetapkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Pemilik kenderaan dinasihatkan agar berwaspada terhadap reflektor yang tidak diiktiraf serta tidak mematuhi piawaian, termasuk pelekat tiruan yang menggunakan logo JPJ.

“Seperti yang diumumkan oleh JPJ, buat masa ini, hanya reflektor yang dikeluarkan oleh 3M Malaysia dan Orafol Reflective Solutions saja mendapat pensijilan MS 828:2011 daripada SIRIM,” katanya.

Menurut Shukor, bagi memudahkan pelanggan, kedua-dua pengeluar reflektor itu akan membuka kaunter penjualan di 21 cawangan PUSPAKOM mulai 1 Januari 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Disember 2016 @ 11:17 AM