Skuad Khas Harian Metro


JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak termasuklah pegawainya sendiri sekiranya mereka melanggar undang-undang.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, demikian ketika diminta mengulas mengenai penahanan tiga pegawainya oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana disyaki terbabit ‘membantu’ sindiket penyeludupan migran untuk membawa masuk warga Bangladesh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

"Saya dari awal lagi sudah tegaskan tidak akan berkompromi dalam isu membabitkan keselamatan negara.

“Dalam kes penahanan tiga pegawai ini, ia adalah hasil kerjasama berterusan antara JIM dan PDRM dalam perkongsian maklumat dan hasil risikan.

"JIM telah dan akan terus memberi kerjasama sepenuhnya kepada PDRM dan lain-lain agensi dalam melakukan siasatan," katanya.

Mustafar berkata, kerjasama antara pihaknya dan PDRM bukanlah satu perkara baru sebaliknya ia usaha berterusan yang dilakukan secara bersama.

“Malah, tangkapan terhadap ahli sindiket yang kita (JIM) sendiri tahan turut diserahkan kepada PDRM untuk siasatan mengikut bidang kuasa mereka sebaik siasatan mengikut Akta Imigresen selesai dilakukan,” katanya.

Katanya, apa yang berlaku (penahanan pegawai imigresen) bukanlah mewakili keseluruhan pasukan.

"Saya tegaskan sekali lagi, mereka ini bukanlah mewakili keseluruhan pasukan kerana ramai pegawai imigresen yang berintegriti dan amanah dalam melakukan tanggungjawab ataupun tugas mereka.

"Dalam setandan pisang pasti ada yang buruk. Kita tidak akan berkompromi dengan perkara ini.

“Hukuman yang tegas tanpa kompromi akan diambil di peringkat jabatan jika pegawai terbabit terbukti melakukan kesalahan.

"Buktinya, pelbagai tindakan dalaman termasuklah pasukan khas ditubuhkan serta merta sebelum dihantar ke Dhaka bagi mengesan mereka yang terbabit dalam kegiatan penyeludupan migran," katanya.

Beliau berkata, JIM sangat serius dan komited dalam memastikan integriti pegawainya berada di tahap maksimum.

Katanya, pelbagai program pematuhan dan integriti dijalankan selain menjalinkan kerjasama antara agensi bagi memastikan kedaulatan, keselamatan dan kesejahteraan negara terjamin.

Berita berkaitan

Tiga pegawai imigresen kena `angkut’ polis

Mereka umpama nila yang merosakkan susu

Mustafar turun padang tinjau [METROTV]

Empat cadangan pakar

'Sekat rantaian kesalahan'

Akan ada lagi tangkapan

5 lagi ditahan

Ketatkan kawalan di KLIA

Pegawai imigresen kena tahan

Hari-hari 'makan' penumbuk [METROTV]

Siasat rangkaian sindiket

Empat Bangla kuasai KLIA [METROTV]

RM5.2 juta seludup hamba moden [METROTV]

24 jam tunggu 'sotong' [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 January 2018 @ 8:21 PM