Sarah Zulkifli


WARGA Bangladesh yang ditahan dalam Op Pintas KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur) mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Ampang, hari ini, atas tiga tuduhan memiliki pasport milik tiga warga Bangladesh, awal bulan ini.

Tertuduh, Mohammed Shahin Takulder, 34, pekerja restoran membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan dalam bahasa Melayu di hadapan Majistret Haslinda A Raof.

Bagaimanapun, mahkamah menetapkan 17 Januari ini untuk jatuh hukum.

Mengikut pertuduhan, Shahin didakwa tanpa kuasa yang sah memiliki pasport tiga warga Bangladesh milik Abdul Kalam Azad, Md Kamal Hossen dan Md Sharif yang dikeluarkan bagi penggunaan mereka.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Pandan Indah 4/8, Pandan Indah pada 1.30 petang, 6 Disember lalu.

Sementara itu, seorang lagi rakan senegaranya, Abdul Rahim, 40, mengaku tidak bersalah di mahkamah atas tuduhan memiliki sembilan pasport milik Mahabur, Md Nabi Hossain, Mohammad Mahiuddin, Md Abu Hanif, Hanifa, Mohamad Masud Hossain, Mohamad Babul Hossain, Mito Mhia dan Md Aminul Mia.

Kesalahan itu dilakukan di nombor 39, Jalan Dagang Permai 4, Taman Dagang Permai, Hulu Langat, 1.30 tengah hari, pada 6 Disember lalu.

Pendakwaan kes terhadap mereka dibuat mengikut Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966, yang boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding sama, tiga individu termasuk seorang wanita warga sama turut didakwa atas tuduhan sama, namun tiada pengakuan direkodkan berikutan ketiadaan jurubahasa warga Bangladesh.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 17 Januari depan untuk sebutan semula kes dan lantikan peguam.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Raihanah Abd Razak manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Sebelum ini, Harian Metro mendedahkan berlaku aktiviti penyeludupan masuk migran Bangladesh di KLIA, Sepang menerusi Op Pintas KLIA yang dilancarkan Bahagian Anti Pemerdagangan dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) D7C Bukit Aman selepas risikan hampir tujuh bulan.

Berita berkaitan

Mereka umpama nila yang merosakkan susu

Mustafar turun padang tinjau [METROTV]

Empat cadangan pakar

'Sekat rantaian kesalahan'

Akan ada lagi tangkapan

5 lagi ditahan

Ketatkan kawalan di KLIA

Pegawai imigresen kena tahan

Hari-hari 'makan' penumbuk [METROTV]

Siasat rangkaian sindiket

Empat Bangla kuasai KLIA [METROTV]

RM5.2 juta seludup hamba moden [METROTV]

24 jam tunggu 'sotong' [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Disember 2017 @ 3:34 PM
Warga Bangladesh yang didakwa atas pertuduhan memiliki pasport orang lain di Mahkamah Majistret Ampang, Kuala Lumpur. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Warga Bangladesh yang didakwa atas pertuduhan memiliki pasport orang lain di Mahkamah Majistret Ampang, Kuala Lumpur. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali