Juliza bersama anak bongsunya, Nur Sumayyah. FOTO ihsan Juliza Mohd Khalid
Juliza bersama anak bongsunya, Nur Sumayyah. FOTO ihsan Juliza Mohd Khalid
Mohamad Fahd Rahmat


SEBUAH keluarga di Taman Mewah Yong Peng, Batu Pahat, Johor mengharapkan bantuan orang ramai bagi menampung kos perubatan anak bongsu mereka berusia tujuh bulan yang menghidap masalah kegagalan fungsi hati.

Juliza Mohd Khalid, 37, berkata, anak bongsunya, Nur Sumayyah Mohd Hafiz disahkan menghidapi penyakit berkenaan sejak berusia enam bulan dan kos pemindahan hati dianggarkan mencecah RM250,000 di Shanghai, China.

Katanya, pembedahan itu tidak terdapat di negara ini dan China menjadi pilihan atas saranan pakar perubatan daripada Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

“Kami merayu sumbangan orang ramai bagi menampung kos pembedahan hati anak kami yang mencecah RM250,000. Alhamdulillah sehingga kini, kami dapat mengumpulkan kira-kira RM20,000 atas sumbangan pihak yang prihatin.

“Hasil pemeriksaan termasuk ujian biopsi dan jenis darah iaitu O+ mengesahkan hati suami, Mohd Hafiz Hashim, 33, sesuai bagi dipindahkan kepada anak kami dan berharap pembedahan berkenaan dapat dijalankan sebelum Mac ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dia berkata, pendapatannya dan suami yang bekerja sebagai anggota tentera terbatas namun bersedia bergolok gadai kediaman mereka jika keadaan mendesak.

“Anak saya kerap demam dan menangis kerana menanggung kesakitan. Saya berharap budi baik masyarakat Malaysia supaya mendoakan kesejahteraan dan kesihatan Sumayyah,” katanya.

Dia berkata, mereka yang ingin menyumbang boleh melakukan demikian melalui akaun Maybank milik Mohd Hafiz Hashim 156226064380 atau menghubunginya di talian 0127581393.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 January 2018 @ 9:47 PM