Nur Sumayyah
Nur Sumayyah
HM Digital

Kluang: Nur Sumayyah dari Taman Mewah Yong Peng, Batu Pahat, dekat sini, yang menghidap masalah kegagalan fungsi hati dijangka dapat menjalani pemindahan hati pada bulan depan.

Anak bongsu kepada anggota Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) Staf Sarjan Muhd Hafiz Hashim yang kini berusia lapan bulan itu bakal menjalani pembedahan di Shanghai, China apabila dimuktamadkan selepas menjalani pemeriksaan akhir di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dalam masa terdekat.

Ibu Nur Sumayyah, Juliza Mohd Khalid, 37, berkata, kos pembedahan akan ditampung hasil sumbangan daripada orang ramai dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menurutnya, dia bersyukur dan berterima kasih kepada orang ramai dan pelbagai pihak yang tampil menyumbang bagi menampung kos perubatan anaknya itu.

Katanya, hasil derma orang ramai sejak dua bulan lalu berjaya mengutip sebanyak RM170,000, manakala ATM akan menambah kira-kira RM80,000 lagi bagi menampung jumlah keseluruhan yang diperlukan iaitu sebanyak RM250,000.

“Apa yang dapat saya katakan hanyalah ribuan terima kasih atas keprihatinan orang ramai yang sanggup berkongsi kesusahan dihadapi dan bersama-sama berdoa agar pembedahan ini membuahkan kejayaan dan anak kami kembali sihat seperti biasa.

“Kepada Markas ATM, sumbangan sebanyak RM80,000 ini menjadi hadiah tidak ternilai kepada kami sekeluarga sempena sambutan Ulang Tahun Tentera Darat Ke-85 pada tahun ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Mac 2018 @ 5:35 AM