Dr Wee  (dua dari kanan)  mewakili Yayasan 1MCA menyampaikan RM20,000 kepada keluarga Nursumayyah.
Dr Wee (dua dari kanan) mewakili Yayasan 1MCA menyampaikan RM20,000 kepada keluarga Nursumayyah.
Mohamad Fahd Rahmat

Batu Pahat: Kira-kira RM80,000 dikumpul, namun sebuah keluarga di Taman Mewah Yong Peng di sini, masih berharap sumbangan bagi menampung kos pembedahan hati anak bongsu mereka yang menelan belanja RM250,000.

Juliza Mohd Khalid, 33, berkata, anak bongsu daripada dua beradik itu, Nursumayyah Mohd Hafiz, berusia tujuh bula,n disahkan menghidapi kegagalan fungsi hati dan susulan itu, pakar daripada Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) menyarankan pembedahan berkenaan dilakukan di Shanghai China.

“Kami merayu sumbangan orang ramai bagi menampung kos pembedahan hati anak kami yang mencecah RM250,000 dan Alhamdulillah sehingga kini, kami dapat mengumpulkan kira-kira RM80,000 bagi tujuan itu atas sumbangan pihak prihatin.

“Hasil pemeriksaan termasuk ujian biopsi dan jenis darah iaitu O+ mengesahkan hati suami, Mohd Hafiz Hashim (33) sesuai bagi dipindahkan kepada anak kami dan berharap pembedahan berkenaan dapat dijalankan sebelum Mac ini,” katanya ketika ditemui semalam.

Nursumayyah
Nursumayyah

Beliau yang bekerja sebagai pembantu tadbir di Majlis Daerah Yong Peng berkata, dia bersyukur dan menghargai bantuan serta doa orang ramai yang tidak henti mendoakan kesejahteraan anaknya itu.

“Alhamdulillah dan terima kasih kepada semua pihak yang prihatin termasuk menyumbangkan wang ringgit bagi menampung kos pembedahan anak kami nanti dan hanya Allah saja mampu membalas jasa mereka.

“Tidak lupa kepada majikan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong yang mewakili Yayasan 1MCA hari ini yang menyumbangkan sebanyak RM20,000 dan menawarkan bantuan untuk menguruskan kes ini sehingga selesai nanti,” katanya.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian melalui akaun Maybank milik Mohd Hafiz Hashim 156226064380 atau menghubunginya di talian 011-17631267.

Dalam pada itu, Wee yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam berkata, pihaknya akan memberikan bantuan terbaik termasuk mencari penyumbang lain dan menguruskan kes berkenaan hingga selesai nanti.

“Saya akan memberi yang terbaik untuk membantu supaya bayi ini dapat dipulihkan seperti sediakala dan sihat sejahtera.

“Kita rasa terpanggil dan saya rasa masyarakat Malaysia ini penyayang, kita usaha lagi dengan agensi dan yayasan lain yang sudi memberi sumbangan kepada kes ini.

“Saya akan mulakan gerakan itu termasuk mengatur pengurusan pembedahan dan kewangan kita akan membantu supaya tidak menjadi kekangan.

“Kita akan ikhtiar lagi dan saya minta keluarga jangan risau mengenai punca kewangan, apa yang lebih penting mesti ada pakar untuk membantu,” katanya.

Pada 15 Januari lalu, akhbar ini melaporkan satu keluarga di Taman Mewah Yong Peng di sini mengharapkan bantuan orang ramai bagi menampung kos perubatan anak bongsu mereka berusia tujuh bulan yang menghadapi masalah kegagalan fungsi hati.

keterangan gambar

1.Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wee Ka Siong yang mewakili Yayasan 1MCA hari ini yang menyumbangkan sebanyak RM20,000 kepada keluarga Nursumayyah Mohd Hafiz, berusia tujuh bulan disahkan menghidapi kegagalan fungsi hati di Taman Mewah Yong Peng Batu Pahat Johor.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 January 2018 @ 5:18 AM