Iskandar Zulkarnain dibantu bapanya, Mohd Ezry mempersiapkan diri untuk mengharungi Kejohanan Xtreme Muay Championship di India.
Iskandar Zulkarnain dibantu bapanya, Mohd Ezry mempersiapkan diri untuk mengharungi Kejohanan Xtreme Muay Championship di India.
Mohd Hafizee Mohd Arop

Jika melihat susuk tubuh badannya pasti ramai tidak menyangka remaja berusia 13 tahun ini pernah menjadi juara Kejohanan Seni Mempertahankan Diri Muay Thai Peringkat Dunia di Bangkok pada 15 Mac tahun lalu ketika berusia 12 tahun.

Diberi gelaran Khuntab atau panglima ketika bertarung dalam gelanggang muay, Iskandar Zulkarnain Mohd Ezry A’zamin, ternyata layak menerima gelaran itu apabila berjaya mengharumkan nama negara dalam kejohanan itu.

Mengetepikan saingannya yang juga peserta tuan rumah, Tannapon Pennikorn pada perlawanan akhir berjaya meletakkan nama remaja ini kini sebaris juara dunia lain serta digeruni lawan dari negara luar.

Pada perlawanan kategori kadet 33 kilogram (kg) itu, pasti ramai tidak menyangka anak kelahiran Changkat Jering, Taiping ini menjadi juara kerana lawannya mempunyai ketinggian yang lebih daripadanya.

Namun dia membuktikan fizikal bukan segalanya apabila mengetepikan Tannapon melalui kiraan mata dan sehingga kini dia sudah melalui 60 perlawanan sepanjang bergelar atlet muay.

Bermula dengan hanya latihan di luar rumah bersama ayah, bapa saudara serta sepupu ketika masih berusia empat tahun, minat terhadap sukan ini mula timbul apabila melihat aksi dilakukan ahli keluarganya itu.

Iskandar Zulkarnain mengambil masa hanya dua tahun untuk menguasai pelbagai ilmu dalam seni mempertahankan diri itu sebelum memasuki kejohanan pertamanya iaitu Kejohanan Tomoi GCS Ultimate Champion di Manjung ketika berusia enam tahun.

Pada penampilan sulungnya itu, dia membuktikan keupayaan diri apabila menjadi juara kategori 17kg dan kemenangan itu membakar semangat untuk terus beraksi pada kejohanan lain.

Berkongsi kisahnya sewaktu awal pembabitan dalam sukan itu, Iskandar Zulkarnain berkata, ayahnya, Mohd Ezry A’Zamin Abd Wahab, 37, dan ibunya, Fazlyna Mohd Yusof, 34, menjadi pendorongnya untuk terus mempelajari seni mempertahankan diri itu.

Menurutnya, ayahnya yang juga menguasai seni mempertahankan diri itu menjadi jurulatih peribadinya sehingga dia mampu ke tahap sekarang dan mahu ke tahap lebih tinggi seperti dicapai atlet Thailand.

“Ketika memasuki gelanggang pada usia enam tahun, memang seluruh badan terasa gementar dan takut kerana tidak pernah bertanding namun saya beranikan diri dan tidak menyangka menjadi juara pada kejohanan itu.

“Saya menjadikan atlet muay Thailand iaitu Buakaw Banchamek sebagai idola dan mahu ke tahap sepertinya apabila dewasa nanti. Kini latihan berterusan tanpa putus asa akan saya harungi demi mencapai cita-cita itu,” katanya yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Menteri di Changkat Jering, Taiping.

Iskandar Zulkarnain berkata, dia kini mempersiapkan diri untuk mengharungi Kejohanan Xtreme Muay Championship di India pada 16 hingga 22 Januari ini dan menjalani latihan setiap petang di gelanggang di rumahnya.

Katanya, dia kini lebih mudah menjalani latihan bersama kumpulannya di gelanggang itu yang baru dibina melalui peruntukan diberikan Penaung Persatuan Muay Perak yang juga Setiausaha Politik Menteri Besar Perak, Datuk Ahmad Shalimin Ahmad Shaffie.

Menurutnya, dia berterima kasih atas keprihatinan Ahmad Shalimin yang mewakili kerajaan negeri kerana memberikan sumbangan kelengkapan gimnasium latihan membuatkan dia lebih selesa menjalani latihan berbanding dulu.

Ditanya bagaimana membahagikan masa belajar dan latihan, Iskandar Zulkarnain berkata, dia memulakan aktiviti hariannya dengan berjoging pada jam 9 pagi iaitu sejauh enam kilometer (km) setiap hari.

“Saya bersekolah sesi petang. Disebabkan itu saya berjoging pada waktu pagi sebelum bersekolah dan selepas pulang saya menyiapkan kerja rumah diberikan guru terlebih dulu.

“Latihan bermula jam 9 malam selepas selesai menyiapkan kerja sekolah dan tamat jam 11 malam sebelum saya merehatkan badan kerana sukan ini memerlukan rehat yang cukup,” katanya.

Iskandar Zulkarnain berkata, dia tidak mengambil sebarang pil tambahan sebaliknya menjaga makan pada setiap waktu ditetapkan dan pengambilan makanan tidak boleh berlebihan termasuk meminum susu setiap malam.

Sementara itu, Mohd Ezry A’Zamin berkata, segala aktiviti anaknya itu diuruskan Pengurus Iskandar Blood Brother yang juga Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Jering, Fareezuan Ong Abdullah.

“Iskandar Blood Brother ini ditubuhkan SK Changkat Jering kerana dua lagi anak saya iaitu Iskandar Hazriq, 10, dan Iskandar Danish, 6, juga membabitkan diri dalam sukan ini dan menyertai beberapa pertandingan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 January 2018 @ 11:47 AM