Iskandar Zulqarnain muncul juara selepas menundukkan peserta tuan rumah dalam perlawanan akhir bawah 12 tahun Kejohanan Seni Mempertahankan Diri Muay Thai Peringkat Dunia di Bangkok, semalam.
Iskandar Zulqarnain muncul juara selepas menundukkan peserta tuan rumah dalam perlawanan akhir bawah 12 tahun Kejohanan Seni Mempertahankan Diri Muay Thai Peringkat Dunia di Bangkok, semalam.
BERNAMA

Taiping: Murid tahun enam Sekolah Kebangsaan Changkat Jering, Bukit Gantang, di sini, melakar sejarah apabila mengungguli kategori bawah 12 tahun Kejohanan Seni Mempertahankan Diri Muay Thai Peringkat Dunia di Bangkok, Thailand.

Iskandar Zulqarnain Mohamad Ezry A'Zamin muncul juara kategori itu selepas menundukkan peserta tuan rumah, Tannapon Pennikorn dalam perlawanan akhir, semalam.

Bapa Iskandar Zulqarnain, Mohamad Ezry A'Zamin Abdul Wahab berkata beliau dimaklumkan mengenai kejayaan anaknya itu oleh Presiden Muay Thai Malaysia Nooramain Kaw Abdullah.

"Lebih membanggakan apabila diberitahu lawan anak saya memiliki fizikal lebih tinggi selain lebih berpengalaman memandangkan Muay Thai sudah sebati dalam kalangan masyarakat Thailand," katanya yang dihubungi di sini, hari ini.

Mohamad Ezry A'Zamin yang juga jurulatih sukan Muay Thai berkata kejayaan anaknya itu hasil kesungguhan ketika berlatih dan ia pastinya akan menyuntik semangat Iskandar Zulqarnain untuk terus berjaya.

Katanya, Iskandar Zulqarnain dijadual pulang ke Perak Sabtu ini, dan akan menyertai kejohanan Muay Thai di Eropah Mei depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Mac 2016 @ 10:41 PM