Abdul Latif (dua dari kiri) bersama anggota AKSEM menunjukkan minuman keras yang dirampas, semalam. FOTO Azhar Ramli
Abdul Latif (dua dari kiri) bersama anggota AKSEM menunjukkan minuman keras yang dirampas, semalam. FOTO Azhar Ramli
Zuliaty Zulkiffli


CUBAAN dua lelaki tempatan menyeludup pelbagai jenis minuman keras tanpa cukai dari Padang Besar, Perlis ke Kedah gagal apabila mereka dicekup anggota Agensi Kawalan Keselamatan Malaysia (AKSEM), semalam.

Dalam kejadian pada 5.30 petang, kedua-dua lelaki berusia 40-an itu yang memandu Perodua Myvi secara berasingan didapati membawa minuman keras itu melalui kawasan bebas cukai di Padang Besar, Perlis.

Komander AKSEM Kedah Abdul Latif Abdul Rahman berkata, hasil maklumat dan risikan mendapati dua suspek yang bergerak secara konvoi dipercayai dalam perjalanan membawa minuman keras itu untuk dipasarkan di sekitar Alor Setar dan kawasan berhampiran.

Katanya, anggotanya kemudian mengekori kenderaan mereka sejauh kira-kira 40 kilometer dari Padang Besar ke Simpang Empat, Perlis sebelum menahan mereka untuk siasatan lanjut.

"Ketika ditahan, kedua-dua lelaki itu terkejut kerana tidak menyangka diekori oleh anggota AKSEM menyebabkan mereka gagal melarikan diri.

"Hasil pemeriksaan kemudian menemui pelbagai jenis arak yang ditutup dengan kain hitam.

"Berikutan itu, kami menahan mereka untuk siasatan dan percaya minuman keras itu untuk simpanan sempena perayaan Tahun Baru Cina," katanya.

Menurutnya, kedua-dua suspek dibawa ke pejabat AKSEM di Bukit Kayu Hitam untuk siasatan mengikut Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967 kerana mengangkut barang larangan/belum lulus kastam.

Katanya, barangan yang dirampas termasuk cukai dianggarkan berjumlah lebih RM100,000 dan ia akan diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 January 2018 @ 11:33 AM