RODZI (kiri) bersama pegawainya menunjukkan minuman keras diseludup dari Thailand bernilai RM192,611 yang dirampas dalam dua serbuan, malam tadi. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman.
RODZI (kiri) bersama pegawainya menunjukkan minuman keras diseludup dari Thailand bernilai RM192,611 yang dirampas dalam dua serbuan, malam tadi. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman.
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


AGENSI Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) Perlis merampas 129 karton minuman keras pelbagai jenis diseludup masuk dari Thailand bernilai RM192,611 dalam dua serbuan, malam tadi.

Komander AKSEM Perlis, Deputi Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, dalam dua serbuan serentak di Kampung Abi dan Taman Jejawi Utara itu, seorang buruh lelaki warga tempatan berusia 20 tahun ditahan pihaknya pada 7.30 malam hasil maklumat risikan AKSEM Perlis.

Beliau berkata, seorang lagi suspek berjaya melarikan diri, namun pihaknya percaya suspek terbabit akan diberkas tidak lama lagi melalui hasil maklumat dikumpul.

“Dalam serbuan di Kampung Abi, suspek cuba melarikan diri dengan kereta Nissan Almera yang memuatkan 40 karton arak pada bahagian penumpang dan ruangan bagasi.

“Bagaimanapun kami berjaya memintas kereta terbabit sebelum suspek menyerah diri dan mengaku sedang menyeludup minuman keras dari Thailand melalui Padang Besar.

“Manakala bagi serbuan di Taman Jejawi Utara, suspek berjaya melarikan diri dengan meninggalkan kereta Proton Persona di hadapan sebuah rumah yang memuatkan 89 karton minuman keras pada bahagian penumpang dan bagasi,” katanya pada sidang media di pejabat AKSEM Kuala Perlis, hari ini.

Rodzi berkata, suspek mengaku mendapatkan bekalan dari negara jiran serta dalam perjalanan ke Kedah dan Pulau Pinang bagi menghantar barangan kepada pelanggannya sempena perayaan Tahun Baru Cina.

Beliau berkata, pihaknya percayai kedua-dua kes itu didalangi sindiket sama, tetapi mereka berpecah dalam usaha untuk mengaburi mata pihak berkuasa.

“Malah suspek mengaku menerima upah daripada ketua sindiket bagi membawa semua arak dan minuman keras berkenaan.

“Kes diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis dan disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 January 2020 @ 12:03 PM