NANDA Maarof (kanan) bersama pegawainya memeriksa kenderaan yang membawa minuman keras. FOTO Eizairi Shamsudin
NANDA Maarof (kanan) bersama pegawainya memeriksa kenderaan yang membawa minuman keras. FOTO Eizairi Shamsudin
Aizat Sharif


Arau: Polis rampas 127 karton berisi 3,051 tin minuman keras yang cuba diseludup ke negara ini dalam kenderaan pacuan empat roda di Jalan Padang Besar-Ulu Pauh, Pauh Putra, Arau berhampiran Kompleks Sukan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Nanda Maarof berkata, kejadian berlaku pada 6.15 pagi ketika dua anggota polis sedang melakukan rondaan.

“Kedua-dua anggota polis ini melihat kenderaan pacuan empat roda yang mencurigakan memecut laju dari arah Padang Besar ke Lebuhraya Changlun-Kuala Perlis menyebabkan mereka mengekori kenderaan itu selama 10 minit,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Arau, tengah hari tadi.

Pemandu berkenaan yang mengesan dirinya sedang diekori memecut kenderaannya itu sebelum memberhentikan secara mengejut di Jalan Padang Besar-Ulu Pauh berhampiran Kompleks Sukan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

“Pemandu itu kemudian meninggalkan kenderaannya itu dengan melarikan diri ke kawasan kebun getah yang terdapat berhampirn kompleks sukanitu,” katanya lagi.

Pemeriksaan polis menemui minuman keras yang diletakkan di bahagian tempat duduk belakang dan but kenderaan itu.

“Nilai rampasan dipercayai mencecah hampir RM100,000 dan kita percaya minuman keras ini diseludup dari Thailand dan cuba dipasarkan ke negara ini tanpa melalui proses percukaian dikenakan oleh pihak kastam,” katanya lagi.

Kes itu diserahkan kepada pihak Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDM) Perlis untuk siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 April 2016 @ 7:19 PM