Laporan portal berita yang tular di media sosial.
Laporan portal berita yang tular di media sosial.
Siti A'isyah Sukaimi


MALAYSIA Airports Holdings Berhad (MAHB) menyangkal dakwaan seorang kanak-kanak ditinggalkan tanpa pengawasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) selepas tidak dibenarkan menaiki pesawat seperti dilaporkan sebuah portal.

Menerusi kenyataan MAHB, kanak-kanak perempuan itu ditemani pasangan dewasa sekali gus tidak ditinggalkan keseorangan diri di terminal lapangan terbang berkenaan.

"Kanak-kanak terbabit tidak ditinggalkan berseorangan seperti yang dilaporkan tetapi ditemani pasangan dewasa malah kamera pengawasan kita menunjukkan mereka (kanak-kanak dan pasangan dewasa) dilihat meninggalkan lapangan terbang dengan menaiki kereta pada 1.48 tengah hari.

"Justeru, keadaan ini adalah berbeza dengan laporan yang dipaparkan dalam berita berkenaan," kata kenyataan MAHB di Putrajaya, hari ini.

Semalam, sebuah portal melaporkan seorang bapa melahirkan rasa kecewa terhadap polis bantuan MAHB yang menyebabkan dia terpaksa mengambil risiko meninggalkan anak perempuan berusia 12 tahun keseorangan di klia2 tanpa pengawasan hampir sembilan jam.

Portal itu melaporkan, kejadian berlaku apabila seorang daripada tujuh anak lelaki terbabit tercicir MyKid ketika hendak mendaftar masuk penerbangan ke Kuching, Sarawak.

Selain itu, portal itu turut menyatakan, bapa kanak-kanak itu membuat laporan polis di klia2 sebelum menemui anggota keselamatan MAHB, namun anaknya tidak dibenarkan melepasi pemeriksaan keselamatan walaupun sudah menunjukkan laporan polis, salinan pasport dalam telefon bimbit dan salinan sijil surat beranak.

Dalam pada itu, menurut kenyataan MAHB, pihaknya bersimpati dengan masalah dihadapi lelaki itu namun keutamaan Keselamatan Penerbangan (AVSEC) adalah untuk memastikan protokol keselamatan yang dilaksanakan mengikut peraturan seperti ditentukan oleh Jabatan Penerbangan Awam, Jabatan Imigresen dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Ini adalah protokol keselamatan yang ketat sejajar Program Keselamatan Penerbangan Awam Kebangsaan (NCASP) iaitu hanya pengenalan asal atau dokumen perjalanan diterima untuk menaiki pesawat.

"Walaupun memahami kesulitan ibu bapa dan anak terbabit, kami tidak dapat berkompromi kerana langkah sudah disediakan untuk keselamatan lapangan terbang bagi menjaga keselamatan pintu masuk terhadap akses tidak selamat selain keselamatan individu serta syarikat penerbangan.

"Menjadi tanggungjawab kami untuk memastikan semua pelancong mempunyai dokumen perjalanan sah dan asli sebelum mereka dibenarkan menaiki sebarang pesawat," katanya.

Mengulas lanjut, kenyataan MAHB menyebut, orang awam diharap memahami peranan pihaknya dalam menjaga keselamatan lapangan terbang sekali gus memastikan keselamatan negara.

Katanya, tiada ruang pengecualian terhadap pematuhan ketat berhubung protokol keselamatan malah perkara itu adalah untuk kepentingan keselamatan termasuk penumpang.

"Memandangkan kes terdahulu berhubung pemerdagangan orang yang membabitkan kanak-kanak, kita berharap orang ramai terutama ibu bapa menghargai langkah pemeriksaan dilakukan pegawai keselamatan untuk memastikan ia berada di tahap tertinggi iaitu di tempat keluar tersibuk di negara ini.

"Bagaimanapun, kami akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk menambah baik perkhidmatan kami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 January 2018 @ 10:18 PM