BOT empat nelayan dikhuatiri lemas yang ditemui.  (Gambar kecil) Siti Zaharah. FOTO ihsan Bomba dan Ghazali Kori
BOT empat nelayan dikhuatiri lemas yang ditemui. (Gambar kecil) Siti Zaharah. FOTO ihsan Bomba dan Ghazali Kori
Helmy Abd Rahman dan Rosli Ilham


“DIA ada beritahu rakan baiknya bahawa dia akan dapat anak perempuan ketika mereka berhubung melalui WhatsApp beberapa hari lalu,” kata Siti Zaharah Harun, 62, ibu kepada Che Mohd Afendi Che Ismail, 34, seorang daripada empat nelayan dikhuatiri lemas selepas bot gentian kaca dinaiki mereka dibadai ombak di muara Kuala Dungun, malam tadi.

Siti Zaharah berkata, Che Mohd Afendi amat gembira dan teruja bila mendapat tahu anak keduanya yang bakal dilahirhan pada dua atau tiga hari ini adalah perempuan.

Katanya, dia tidak sabar untuk pulang membawa dan menjual hasil tangkapan bagi kos bersalin isterinya yang hanya dikenali Siti Nur Shuhada, 22.

"Tak tahulah apa nasib bayi yang bakal lahir itu jika sesuatu terjadi kepada anak saya.

"Kali terakhir saya bertemu dengannya ialah 22 hari lalu tetapi sebelum turun ke laut, dia ada hubungi saya tetapi gelagatnya biasa saja tanpa menunjukkan tanda tanda aneh," katanya ketika ditemui di Pantai Kuala Dungun, malam tadi.

Siti Zaharah berkata, dia mendapat tahu mengenai kejadian itu pada 10.30 malam tadi dan terus datang ke pantai berkenaan bersama seorang lagi anaknya.

"Saya sampai 12 tengah malam tadi (semalam) dan masih menanti sampai sekarang. Saya juga sempat buat solat hajat meminta supaya dia ditemui segera. Apapun yang terjadi, saya reda," katanya.

Dalam kejadian 10 malam tadi, empat nelayan dikhuatiri lemas selepas bot dinaiki mereka ke Kuala Dungun terbalik dipukul ombak.

Bagaimanapun, seorang dapat menyelamatkan diri selepas berenang hampir tiga jam ke daratan.

Mangsa yang masih hilang ialah Mohd Nazri Yaccob, 37; Che Mohd Afendi Che Ismail, 34; Mohamad Zawawi Mohamed, 27 dan Abdul Wahab Zakaria, 44.

Sementara itu, Mimi Sharmila Hussain, 22, isteri kepada Mohamad Zawawi berkata, suaminya ada menghubunginya petang kelmarin, namun mereka hanya sempat berbual sebentar saja.

"Suami telefon pada 3 petang dan saya hanya sempat tanya khabar sekejap saja, lepas itu anak ambil telefon untuk berbual dengan bapanya.

"Selepas itu dia (Mohamad Zawawi) beritahu dia letih dan ingin tidur. Apabila dapat tahu kejadian menimpanya, saya terus telefon tetapi tidak lagi berjawab.

"Saya harap biarlah dia ditemui segera tidak kiralah hidup atau mati," kata ibu kepada seorang anak berusia dua tahun itu.

Berita berkaitan:

Hanya jumpa bot [METROTV]

Dipercayai tak pandai berenang [UPDATE]

4 nelayan dikhuatiri lemas

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Ogos 2017 @ 3:55 PM