(Gambar kecil) Khairul Anwar (kiri) melihat produk susu bayi yang dijual di pasaraya Econsave sambil diperhatikan Pengurus Operasi Pasaraya Econsave Wilayah Selatan, Mas Imran Adam (kanan). FOTO Hairul Anuar Rahim
(Gambar kecil) Khairul Anwar (kiri) melihat produk susu bayi yang dijual di pasaraya Econsave sambil diperhatikan Pengurus Operasi Pasaraya Econsave Wilayah Selatan, Mas Imran Adam (kanan). FOTO Hairul Anuar Rahim
Izlaily Nurul Ain Hussein


KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Johor menerima 16 aduan baru susulan daripada pendedahan rampasan susu rumusan bayi berjenama yang disyaki tiruan pada 10 Disember lalu.

Pengarah KPDNKK Johor, Khairul Anwar Bachok berkata, aduan terbabit adalah berkaitan keraguan dan kecurigaan ibu bapa atau pengguna tentang produk susu jenama berkenaan yang dibeli mereka selepas pendedahan itu dibuat.

Beliau berkata, semua aduan itu diterima sehingga semalam membabitkan sembilan aduan di Johor Bahru, enam di Pontian dan satu di Batu Pahat.

"Kita menerima aduan daripada ibu bapa yang mungkin meragui pek susu yang dibeli kerana sebelum ini kita juga sudah mendedahkan perbezaan pek asli dan tiruan.

"Ada juga ibu bapa yang membuat aduan apabila anak mereka menunjukkan simptom tidak sihat selepas penggunaan susu jenama berkenaan.

"Susulan aduan yang diterima, kita sudah menjalankan siasatan dan membuat 16 pemeriksaan di pelbagai jenis premis berdasarkan aduan yang dibuat.

"Tiada sebarang rampasan dibuat, namun semua sampel susu yang disyaki tiruan itu diambil dan dihantar ke Jabatan Kimia untuk tindakan selanjutnya," katanya ketika sidang media selepas lawatan pelaksanaan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Krismas (SKHMPK) 2017 di Pasaraya Econsave, Senai, Johor, hari ini.

Khairul Anwar berkata, pihaknya menyeru kepada ibu bapa yang meragui susu rumusan jenama berkenaan boleh membuat aduan ke mana-mana pejabat KPDNKK seluruh negeri.

Menurut beliau, KPDNKK akan menjalankan proses siasatan mengikut Akta Perihal Dagangan 2011, manakala pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga mengambil tindakan mengikut undang-undang yang ada.

"Dari segi peniaga, itu di bawah KPDNKK dan jika didapati bersalah, kita akan mengambil tindakan mengikut Akta Perihal Dagangan 2011, manakala dari segi kandungan susu rumusan bayi berkenaan, ia di bawah tindakan KKM.

"Dijangka minggu depan, keputusan makmal berhubung kandungan susu yang dirampas sebelum ini akan dikeluarkan pihak Jabatan Kimia," katanya.

Dalam perkembangan lain, Khairul Anwar mengingatkan peniaga supaya mematuhi SKHMPK 2017 yang berlansung selama lima hari sehingga Rabu ini.

Beliau menasihatkan semua peniaga supaya meletakkan tanda harga khas berwarna merah jambu ke atas 11 barangan harga kawalan bagi membezakan dengan barangan lain.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Disember 2017 @ 4:22 PM