Rusli (dua kiri) menunjukkan mercun dan bunga api bernilai RM919,900 yang dirampas di tiga kawasan baru-baru ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Rusli (dua kiri) menunjukkan mercun dan bunga api bernilai RM919,900 yang dirampas di tiga kawasan baru-baru ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Sharifah Mahsinah Abdullah


PENYELUDUP mercun di Kelantan menggunakan modus operandi terbaharu dengan meletakkan timbunan pakaian terpakai atau ‘bundle’ di atas kotak bahan terlarang itu bagi mengaburi pihak berkuasa.

Taktik terbaharu itu dikesan Agensi Kawalan Sempadan (AKSEM) ketika mengadakan operasi baru-baru ini yang membawa kepada rampasan lebih RM900,000 termasuk tiga lori.

Komander AKSEM Kelantan, Rusli Karim berkata, modus operandi itu dikesan ketika operasi pertama di Kampung Paloh, Gua Musang pada 30 Disember lalu.

Katanya, dalam operasi itu, anggota AKSEM menahan sebuah lori padat berisi dengan mercun dan bunga api.

“Dalam operasi pada jam 3 pagi itu, kami menemui beberapa kotak mengandungi mercun dan bunga api di bawah timbunan baju bundle.

“Kami percaya penyeludup ‘bermain wayang’ atau mengaburi pihak berkuasa dengan menggunakan baju bundle supaya kegiatan haram mereka tidak dapat dikesan.

“Bagaimanapun, mereka silap, anggota AKSEM berjaya menghidu modus operandi terbaharu mereka walaupun individu yang membawa barang terlarang itu berjaya memboloskan diri,” katanya hari ini.

Rusli berkata, dalam serbuan kedua di Jalan Merapoh, Gua Musang 17 Januari lalu pihaknya merampas pelbagai jenis mercun dan bunga api dari sebuah lori dan semua rampasan itu bernilai RM425,000.

Katanya, operasi itu dilakukan pada jam 10.30 malam.

Dalam operasi ketiga pula, AKSEM merampas mercun dan bunga api dianggarkan bernilai lebih RM59,000.

“Operasi terakhir dilakukan di Pangkalan Jambu dekat Pengkalan Kubor pada jam 1 tengah hari.

“Semua barangan terlarang itu dipercayai diseludup dari Thailand dan untuk dipasarkan ke Lembah Klang sempena Tahun Baharu Cina.

“Walaupun tiada tangkapan dibuat dalam ketiga-tiga operasi itu, kami percaya dapat melumpuhkan sebahagian dari sindiket penyeludupan mercun di sempadan,” katanya.

Rusli berkata, kes diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk siasatan mengikut Seksyen 135, Akta Kastam 1967.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 January 2019 @ 2:41 PM