MOHD Asri (tengah) bersama pegawainya menunjukkan beras yang dirampas.
MOHD Asri (tengah) bersama pegawainya menunjukkan beras yang dirampas.
Muhamaad Razis Ismail


Kota Bharu: Sindiket penyeludupan di sempadan dikesan menggunakan stor dan rumah tinggal sebagai transit untuk menyembunyikan kegiatan mereka daripada dikesan oleh pihak berkuasa.

Bagaimanapun, tindakan licik mereka berjaya dikesan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) Kelantan dalam dua serbuan berasingan di stor simpanan lama Pasir Mas dan rumah separuh siap di Kota Bharu pada awal pagi semalam.

Dalam serbuan itu, AKSEM merampas 201 kampit beras dan 60 bungkus mercun dianggarkan bernilai lebih RM100,000 dipercayai untuk pasaran negara ini.

Bagaimanapun, tiada sebarang tangkapan dibuat berikutan tiada penghuni ketika serbuan dilakukan.

Komander AKSEM Kelantan Mohd Asri Yahya berkata, penyeludup menggunakan stor dan rumah lama yang ditinggalkan untuk mengelak aktiviti mereka dikesan.

“Kebiasaannya, mereka memilih kedudukan bangunan lama yang terletak berhampiran sempadan dan jauh daripada rumah penduduk setempat untuk memudahkan barang diseludup melalui pangkalan haram, disembunyikan.

“Ia disembunyikan sementara di situ sebelum diambil untuk dibungkus di tempat lain, malah lokasi sentiasa berubah daripada satu tempat ke tempat yang lain untuk mengaburi pihak berkuasa.

“Oleh itu usaha berterusan dijalankan AKSEM bersama agensi keselamatan untuk memastikan sempadan negara tidak dibolosi penyeludup,” katanya dalam sidang media di pejabatnya di sini, semalam.

Mohd Asri berkata, serbuan pertama, pihaknya merampas 201 kampit beras siam gred A seberat 10,050 kilogram dianggarkan bernilai RM60,300 disorok di dalam sebuah stor di Kampung Banggol Setol, Pasir Mas pada jam 1 pagi.

“Kami percaya beras itu diseludup masuk dari Thailand menerusi pangkalan haram Bukit Lata sebelum disembunyikan di stor untuk pasaran di sekitar negeri ini.

“Beras bitu kami serahkan kepada Seksyen Kawal Selia Padi dan Beras, Bahagian Industri Padi dan Beras Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Kelantan untuk disiasat mengikut Akta Kawalan Padi dan Beras 1994,” katanya.

Manakala, dalam serbuan kedua pada jam 3 pagi, AKSEM menyerbu rumah tidak penghuni di Kampung Tegayong, Melor, Kota Bharu sebelum menemui 60 bungkusan berisi mercun dan bunga api dianggarkan bernilai RM41,600 yang dipercayai diseludup dari Thailand.

“Kami percaya mercun diseludup melalui pangkalan haram untuk pasaran luar Kelantan untuk sambutan Krismas dan Tahun Baru Cina,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 November 2016 @ 9:48 AM