WAN Kamil   (tengah) memotong reben  perasmian UniTC sambil diperhatikan   Syed Ali Al Habshee (kiri),  Dr Muhammad Abdullah  (dua  dari kiri), Syed Razif  (empat dari kiri)  dan Ahli Lembaga Pengarah UiTM, Datuk Mohd Zaini Hassan  pada
WAN Kamil (tengah) memotong reben perasmian UniTC sambil diperhatikan Syed Ali Al Habshee (kiri), Dr Muhammad Abdullah (dua dari kiri), Syed Razif (empat dari kiri) dan Ahli Lembaga Pengarah UiTM, Datuk Mohd Zaini Hassan pada
Siraj Mohd Zaini

Shah Alam: Bagi meningkatkan kebolehpasaran penuntut selepas tamat pengajian, Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan (FPHP) Universiti Teknologi Mara (UiTM) melancarkan Pusat Latihan Simulasi dan Inkubator Pembelajaran dan Pengajaran (P&P) serta agensi pelancongan sendiri yang dikenali sebagai Universiti Travel Center (UniTC).

Dekan FPHP Prof Dr Muhammad Abdullah Hemdi berkata, penubuhan P&P dan UniTC itu adalah hasil kerjasama dengan agensi pelancongan, Sri Sutera Travel (SST) untuk memberi lebih manfaat kepada penuntutnya.

Beliau berkata, penuntut boleh melatih kemahiran diri dan memahami susun atur serta cara kerja di sebuah agensi pelancongan.

“Kerjasama ini bukan saja mengeratkan hubungan universiti dengan industri, malah ia diyakini memberi manfaat dan boleh dijadikan platform untuk meningkatkan kemampuan penuntut fakulti ini.

“Selain itu, UniTC ini juga salah satu inisiatif untuk menjana pendapatan kepada universiti kerana di sini perkhidmatan disediakan sama seperti di agensi pelancongan luar kerana menyediakan pakej menarik kepada mereka yang suka melancong,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran P&P dan UniTC, semalam.

Turut hadir, Timbalan Rektor Bahagian Hubungan Industri, Komuniti, Alumni dan Keusahawanan UiTM Prof Madya Wan Kamil Wan Mohamad, Pengerusi SST Datuk Syed Ali Al Habshee serta Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif SST Datuk Syed Razif Syed Yasin.

Sementara itu, Syed Razif berkata, pihaknya yakin kerjasama yang julung kali diadakan dengan universiti di negara ini mampu membuka peluang lebih luas untuk dikembangkan ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) lain.

“Kerjasama ini membolehkan UiTM melahirkan graduan yang memenuhi kehendak industri kerana mereka terlebih dulu menimba pengalaman di pusat latihan serta agensi pelancongan.

“Bagi kami pula, ia adalah sebahagian tanggungjawab sosial korporat syarikat dan kami juga mahu melihat lebih ramai graduan berkualiti dapat dilahirkan menerusi kerjasama ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Disember 2017 @ 9:54 AM