DALAM teori pendidikan, proses pembelajaran yang baik ialah apabila pelajar boleh belajar sesuatu melalui pengalaman, pemerhatian dan percubaan. - gambar hiasan.
DALAM teori pendidikan, proses pembelajaran yang baik ialah apabila pelajar boleh belajar sesuatu melalui pengalaman, pemerhatian dan percubaan. - gambar hiasan.
KEPELBAGAIAN modul atau silibus diperkenalkan mampu memberi peluang kepada guru untuk menjadikan proses P&P selari kehendak pelajar. - gambar hiasan.
KEPELBAGAIAN modul atau silibus diperkenalkan mampu memberi peluang kepada guru untuk menjadikan proses P&P selari kehendak pelajar. - gambar hiasan.
GURU perlu berupaya menarik perhatian pelajar bagi membolehkan konsep disampaikan mudah difahami sekali gus membantu pelajar menguasai ilmu yang diajar. - gambar hiasan.
GURU perlu berupaya menarik perhatian pelajar bagi membolehkan konsep disampaikan mudah difahami sekali gus membantu pelajar menguasai ilmu yang diajar. - gambar hiasan.
Oleh Ruhaiza Rusmin

Sudah banyak usaha dilakukan kerajaan bagi memudahkan proses kelangsungan ilmu daripada guru kepada pelajar terutama mengukuhkan proses pengajaran dan pembelajaran (P&P).

Implementasi P&P digubal bagi menyesuaikan keberkesanannya mengikuti situasi dan mekanisme utama menentukan keberhasilan pelajar dalam proses pembelajaran.

Namun, di tengah pelbagai usaha giat itu, masih ada yang mempersoalkan mengenai kemampuan guru menguasai mekanisme itu. Ini ditambah dengan pengenalan pelbagai transformasi menyebabkan P&P sedikit mencabar kemampuan guru melaksanakan tanggungjawab mendidik.

Timbalan Pengarah Kesarjanaan Pengajaran dan Pembelajaran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Rokiah Ahmad, berkata isu P&P guru di dalam bilik darjah perlu diberi tumpuan kerana membabitkan pemahaman pelajar menguasai proses pendidikan yang diterima.

Beliau berkata, sejajar usaha dilakukan Kementerian Pendidikan (KPM), guru perlu peka terhadap aspek transformasi dilakukan dan tidak boleh menganggapnya satu bebanan tugas bagi memastikan mekanisme P&P berjalan lancar.

“Dalam proses pendidikan, P&P adalah kunci yang menentukan kejayaan atau kegagalan seorang guru untuk menyampaikan ilmu kepada pelajar.

“P&P yang baik akan menghasilkan kejayaan untuk kedua-dua pihak, justeru kita perlu akur, tahap pengukuran P&P perlu berada selari dan mengikut piawaian supaya sokongan padu dapat diperoleh,” katanya

Beliau merujuk pelbagai pengenalan baru diperkenalkan KPM dengan sasaran meningkatkan profesionalisme guru dalam pendidikan.

“Guru adalah pencetus mekanisme kepada setiap pengenalan yang diunjur atau apa yang dilaksanakan, justeru pengukuhan P&P golongan ini perlu diperkukuhkan dari semasa ke semasa.

“Titik tolak kejayaan pelajar banyak bergantung kepada guru, justeru golongan itu perlu berani menggalas tanggungjawab sebagai satu kesediaan membantu pelajar mencapai sasaran mereka.

“Proses P&P tidak boleh dilaksanakan satu pihak tapi memerlukan kerjasama menyeluruh bagi menghasilkan hasil terbaik,” katanya.

Beliau turut menyangkal pandangan kononnya guru di negara ini tidak berkualiti melaksanakan P&P.

“Anggapan itu tidak benar kerana kita mempunyai barisan guru yang bagus dan bersedia melaksanakan arahan bagi melancarkan lagi perjalanan dunia pendidikan negara.

“Mungkin ada guru belum mampu menggunakan P&P dengan baik atas beberapa faktor terutama guru baru,” katanya yang ditemui sewaktu program Pameran Inovasi dan Pembelajaran di UKM, baru-baru ini.

Program itu mempamerkan hasil kajian dan penyelidikan pensyarah Fakulti Pendidikan UKM selaras membantu guru mempelbagaikan mekanise dalam proses P&P.

Antaranya ialah penggunaan pelbagai modul P&P yang direka sama ada berbentuk interaktif, fizikal mahupun modul dicipta menerusi penyelidikan bagi melancarkan proses pembelajaran pelbagai subjek dalam bilik darjah.

Beliau turut memberi contoh pendekatan praktikal yang dicadangakan pakar pendidikan, John Deney misalnya yang menggalakkan pelajar mempelajari sesuatu melalui pengalaman, permerhatian dan percubaan.

Menurutnya, ada segelintir guru masih selesa menggunakan pendekatan tradisi yang mungkin kurang bersesuian dengan pelajar generasi sains teknologi dan maklumat.

“Zaman guru hanya bercakap di depan menggunakan buku teks kurang sesuai zaman ini kerana guru perlu mempelbagaikan cara pembelajaran agar pelajar boleh menerimanya dengan baik.

“Sudah banyak modul atau silibus diperkenalkan, jadi guru perlu proaktif, kreatif serta bijak memanfaatkan kaedah untuk menarik minat pelajar sama ada dalam kelas atau apa situasi,” katanya.

Katanya, keperluan serba pantas dunia pendidikan global hari ini memerlukan guru, KPM, sekolah dan masyarakat memberi sokongan.

“Ada banyak pihak menyuarakan kebimbangan dengan transformasi demi transformasi dibuat tapi jangan bertindak tergesa-gesa untuk membuat persepsi atau meletakkan kesalahan kepada satu pihak semata-mata.

“Setiap transformasi perlukan masa untuk melihat hasilnya dan masyarakat perlu memberikan masa.

“Kita mungkin selesa dengan sistem lama, tetapi dalam proses pendidikan, ia memerlukan teknik baru dan setiap sistem atau modul yang dibangunkan memerlukan masa, sekurang-kurangnya lima tahun untuk melihat kejayaan,” katanya.

Beliau meminta guru sentiasa kreatif menjadikan proses P&P lebih menarik dalam kelas dan mengusahakan mekanisme tertentu untuk menarik perhatian pelajar.

“Penggunaan kaedah dan teknik yang pelbagai akan menjadikan P&P menarik dan membolehkan pelajar terbabit secara aktif tanpa jemu.

“Banyak kaedah dan teknik boleh digunakan bagi melancarkan lagi proses itu dengan sokongan pelbagai kajian serta penyelidikan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mei 2015 @ 1:55 PM