MURID perlu menyesuaikan diri dengan menjalani P&P di rumah sewaktu PKP. FOTO ihsan pembaca
MURID perlu menyesuaikan diri dengan menjalani P&P di rumah sewaktu PKP. FOTO ihsan pembaca
Redzuan Muharam


KAEDAH pengajaran dan pembelajaran (P&P) secara dalam talian kini menjadi alternatif berikutan penutupan sekolah kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masih berkuat kuasa.

Pelaksanaannya mendapat maklum balas positif daripada ibu bapa tetapi masalah timbul terutama bagi segelintir murid dan pelajar yang tidak mempunyai peranti atau akses Internet untuk mengaplikasikan P&P secara dalam talian di rumah.

Bapa tiga anak, Hezrin Salmi, 38, dari Bandar Baru Permas Jaya, Masai, Johor berkata, kaedah P&P seharusnya diaplikasikan secara konsisten dan bukannya sewaktu tempoh PKP.

Katanya, langkah itu bagi memastikan guru, ibu bapa dan pelajar sentiasa bersedia menyesuaikan diri dengan cepat.

“Kaedah ini sepatutnya dibuat lebih awal misalnya untuk murid yang tidak dapat hadir ke sekolah kerana sakit atau lain-lain lagi tetapi belum terlambat untuk dilaksanakan cuma berlaku masalah untuk segelintir guru atau ibu bapa yang kurang mahir menggunakan aplikasi tertentu di dalam talian.

“Selain itu, terdapat juga halangan untuk murid atau pelajar yang tidak mempunyai peranti elektronik atau ia ada tetapi terhad dan tiada akses Internet.

“Dalam hal ini, guru perlu bekerja keras untuk mencari cara bagaimana menyediakan bahan pembelajaran terutama dalam membantu murid atau pelajar kurang berkemampuan tidak ketinggalan ketika tempoh PKP,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Sementara itu, Mohd Syazwan Yusuff, 35, berkata, kaedah P&P menarik kerana lari daripada kebiasaan tetapi kerajaan diharap mencari alternatif untuk membantu murid di luar bandar supaya tidak ketinggalan hanya kerana tiada akses Internet.

Manakala, guru pula perlu mempelbagaikan kaedah P&P tanpa tertumpu kepada pengagihan kerja sekolah yang memerlukan murid atau pelajar menulis semata-mata.

“Dari segi kemudahan, murid atau pelajar mungkin boleh menggunakan telefon pintar ibu atau bapa mereka cuma masalah bagi yang tiada akses Internet atau peranti terhad kerana bilangan anak ramai.

“Guru pula boleh melakukan kelainan menerusi latihan dalam bentuk kuiz untuk subjek tertentu bagi menarik minat murid belajar walaupun ketika di rumah,” katanya.

Yang Dipertua (YDP) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Dato’ Idris, Tanjong, Ipoh, Norasyikin Mohd Ali berkata, sehingga kini, tiada rungutan diterima daripada ibu bapa berhubung P&P sewaktu PKP malah guru juga memberi kerjasama baik.

Namun, Norasyikin mencadangkan jumlah subjek harian untuk P&P pada waktu PKP dilihat semula demi memudahkan ibu bapa memantau anak mereka.

“Pada saya, satu atau dua subjek sudah memadai dan bukannya mengikut jadual seperti di sekolah kerana bukan semua ibu bapa mempunyai kemudahan peranti yang baik.

“Malah, jika mempunyai bilangan anak yang ramai, tentunya akan berlaku perebutan untuk menggunakan telefon pintar atau komputer riba,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 April 2020 @ 11:02 PM