PELAJAR, Mohammad Nur Fadhlan, 10, bersama kakaknya, Nur Amrina Rusyadaa, 19, membuat latih tubi yang diberikan guru kelas dan pensyarah melalui perisian WhatsApp di rumah berikutan PKP dilanjutkan pada fasa ketiga. FOTO Mohd Fadli Hamzah
PELAJAR, Mohammad Nur Fadhlan, 10, bersama kakaknya, Nur Amrina Rusyadaa, 19, membuat latih tubi yang diberikan guru kelas dan pensyarah melalui perisian WhatsApp di rumah berikutan PKP dilanjutkan pada fasa ketiga. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Yusmizal Dolah Aling dan Redzuan Muharam


KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) yakin dengan kemampuan dan kreativiti guru dalam menentukan kaedah terbaik bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) di rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berjalan lancar.

Menteri Kanan Pendidikan, Dr Radzi Jidin berkata, guru juga sudah diingatkan untuk mengambil kira setiap kekangan dihadapi pelajar di rumah seterusnya menetapkan kaedah yang sesuai untuk P&P di rumah.

“Kita sedar isu dihadapi dan perkara dibangkitkan malah ibu bapa serta guru menghadapi tekanan berikutan pelaksanaan kelas dalam talian.

“Dalam garis panduan diberikan pada awal PKP tempoh hari sudah dinyatakan prinsip asas adalah mengambil kira kekangan dihadapi guru dan pelajar,” katanya kepada pemberita pada sidang media, hari ini.

Menurut Radzi, kementerian sudah menjalankan kaji selidik kepada lebih 670,000 ibu bapa dan hampir 900,000 murid dan pelajar bagi mendapatkan maklum balas.

Katanya, hasil kaji selidik itu mendapati pemilikan peranti elektronik untuk membolehkan P&P dilaksanakan di rumah agak terhad.

“Daripada 900,000, hanya enam peratus mempunyai komputer manakala 5.76 peratus lagi memiliki tablet.

“Manakala, sembilan peratus lagi memiliki komputer riba, 45 peratus telefon pintar dan 36.9 peratus tidak mempunyai sebarang peranti di rumah.

“Dalam konteks ini, P&P di rumah adalah satu cabaran terutama bagi anak yang tidak memiliki peranti dan akses internet perlahan akan mengambil masa panjang,” katanya.

Berhubung inisiatif kementerian memperkenalkan Televisyen (TV) Pendidikan sepanjang PKP bermula 6 April lalu, Radzi berkata pihaknya mendapat maklum balas positif setakat ini.

“Dapat maklum balas baik dan kita akan menambah baik kerana dua jam itu agak terhad.

“Jadi, kementerian akan terus menambah baik dalam memastikan murid dan pelajar mendapat manfaat sewaktu menjalani PKP di rumah,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 April 2020 @ 6:12 PM