FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Noor Hidayah Tanzizi


LELAKI Nepal terbunuh selepas dipercayai bergaduh dengan rakan sekerjanya sebelum dia dihumban dari tingkat tiga asrama pekerja di Kampung Acheh, Sitiawan.

Ketua Polis Manjung, Asisten Komisioner Muhamad Hanif Othman, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu, pada 2.09 pagi, Jumaat.

Menurutnya, kejadian dipercayai berpunca pergaduhan yang tercetus antara mangsa dan lelaki yang juga menetap di asrama sama sebelum berlaku pergelutan.

“Suspek yang juga warga Nepal dikatakan bergaduh dan berlaku pergelutan dalam keadaan mabuk.

“Mangsa dipercayai diangkat oleh suspek sebelum dihumban dari koridor tingkat tiga asrama berkenaan sebelum suspek melarikan diri," katanya dalam kenyataannya.

Muhammad Hanif berkata, mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Seri Manjung, pada 10.30 pagi semalam.

Menurutnya, mayat kemudian dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh.

Katanya, pihaknya kini sedang mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Disember 2017 @ 9:14 PM