LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
Noor Hidayah Tanzizi


“SAYA berikan nombor telefon untuk mengesan kembar yang masih tidak pulang ke rumah tetapi ada pula individu yang menghubungi mahu mencari jodoh,” kata Hasnita Zulkepeli, 32.

Itu reaksi wanita itu dalam usaha mencari kembarnya, Haslinda yang juga wanita orang kurang upaya (OKU) hilang selepas dikatakan keluar dari rumahnya di Pulau Pangkor, sejak Isnin lalu.

Hasnita, berkata, mereka sekeluarga bimbang keadaan kakak kembarnya itu yang sehingga kini, masih belum pulang sejak seminggu lalu.

Katanya, selepas dia dapat menghubungi kembarnya itu pada Rabu lalu, sehingga kini Haslinda tidak dapat dihubungi kerana telefonnya dimatikan.

“Kami bimbang keadaan kakak yang sudah seminggu tidak pulang dan dalam kebimbangan itu saya bertambah runsing apabila ada pihak yang menghubungi untuk mencari jodoh.

“Saya berikan nombor untuk mencari kakak tetapi jadi sebaliknya pula, tetapi ada juga yang mengambil berat kehilangan kakak serta cuba membantu. Saya ucapkan ribuan terima kasih,” katanya ketika dihubungi di Seri Manjung, Manjung, hari ini.

Menurutnya, mereka sekeluarga berusaha mengesan Haslinda dan tiga hari lalu ada maklumat yang mendakwa melihat kakaknya itu di Parit, Bota.

“Saya mohon supaya kakak segera pulang dan kembali kepada keluarga. Jika ada sebarang masalah atau ada perkara lain, baliklah kita selesaikan bersama dengan baik.

“Saya juga mohon sesiapa yang ternampak kakak terus bawa dia ke balai polis,” katanya yang sudah berkahwin.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman ketika dihubungi, mengesahkan kejadian dan memaklumkan siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengesan wanita terbabit.

“Pihak polis membuka kertas siasatan bagi kes orang hilang dan turut mengesan melalui kamera litar tertutup (CCTV) di Jeti Pangkor,” katanya.

Harian Metro pada 10 Januari lalu, melaporkan Haslinda yang tinggal seorang diri di rumah pusaka arwah nenek mereka keluar dengan menaiki motosikal bersama rakannya dan dipercayai menaiki feri ke Jeti Lumut untuk ke Manjung.

Haslinda yang OKU fizikal pada tangan kanan, bertubuh kecil kurus dan rendah dikatakan memaklumkan kepada jirannya yang dia mahu keluar bersama rakannya dipercayai lelaki.

Berikutan itu, laporan kehilangan wanita itu sudah dua kali dibuat di Balai Polis Sitiawan.

Berita berkaitan:

  • Pulanglah, kakak...
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 January 2019 @ 3:16 PM