ORANG ramai mengutip kupang yang mendarat di Pantai Remis, semalam.
ORANG ramai mengutip kupang yang mendarat di Pantai Remis, semalam.
Amirul Aiman Hamsuddin

Kuala Selangor: “Ini kali pertama saya saksikan fenomena aneh kupang mendarat di pantai,” kata pekerja kilang Mohd Jauzi Mohd Radzuan, 26.

Kelmarin, penduduk daerah ini dilanda fenomena kupang memenuhi sebahagian besar kawasan tepi Pantai Remis, Jeram, di sini.

Dipercayai haiwan bercengkerang yang membiak dalam kawasan beting pasir itu dipukul ribut dan dihanyutkan sehingga ke kawasan pantai berkenaan.

Jauzi berkata, dia yang bercuti bersama keluarga tidak melepaskan peluang mengutip kupang itu.

“Berikutan jarak antara pantai ini dan resort tidak jauh, saya segera ke situ dan mendapati orang ramai berpusu-pusu mengutip kupang.

“Rata-rata mereka menggunakan sauk dan jaring untuk mengambil kupang selain guni,” katanya.

Menurutnya, keadaan seumpama itu dianggap unik kerana jarang didapati di kawasan lain.

Sementara itu, penduduk tempatan yang mahu dikenali sebagai Ahmad, 37, berkata dia memperoleh sehingga 20 kilogram kupang.

“Biasanya kupang hanya boleh didapati pada September iaitu ketika bulan penuh.

“Kemeriahan fenomena ini dianggap tepat pada masanya apatah lagi ketika musim cuti sekolah,” katanya.

Menurutnya, ia turut mencetuskan viral di laman sosial Facebook (FB) sehingga ramai yang sanggup datang menyaksikannya.

Dalam pada itu, hidupan laut seperti lala, kepah, mentarang dan kerang bulu turut ditemui terdampar di Pantai Redang, Sekinchan dipercayai akibat dihanyutkan air pasang, kelmarin.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Disember 2017 @ 9:05 AM