MANGSA banjir berpindah ke PPS di Dewan Haji Hassan Samah, Kupang. FOTO Ihsan Penduduk
MANGSA banjir berpindah ke PPS di Dewan Haji Hassan Samah, Kupang. FOTO Ihsan Penduduk
Safuri Kamarudin


Baling: 27 keluarga membabitkan 120 mangsa dari Kampung Padang Empang, Kupang berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Haji Hassan Samah apabila rumah mereka dinaiki air paras satu meter malam ini.

Mangsa berpindah mulai jam 9 malam ini apabila keadaan rumah mereka tidak selamat berikutan hujan masih berterusan.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat, berkata PPS dibuka dan menempatkan mangsa ekoran kediaman mereka dimasuki air.

Menurutnya, penduduk di Kampung Bendang Bechah dan Hangus diarah berpindah ke tempat selamat kerana air semakin naik ke penempatan mereka.

"Hujan lebat sekitar jam 5 petang menyebabkan air Sungai Kupang melimpah dengan cepat dipercayai tebing pasir pecah dihanyutkan air deras.

"Penduduk terpaksa berpindah kerana masih hujan dan bimbang mereka terperangkap kerana cuaca gelap.

"Langkah awal kita arahkan mereka berpindah bagi mengelakkan kejadian buruk," katanya dalam kenyataan malam ini.

Shamsudin berkata, beberapa kampung lain turut berjaga-jaga sekiranya penempatan mereka dinaiki air antaranya Kampung Iboi, Bendang Padang dan kawasan Sekolah Menengah Yayasan Agama Khairiah, Kupang.

Sementara itu, Jambatan Bailey ditutup sementara malam ini bagi mengelakkan kejadian buruk dan bimbang strukturnya rosak.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 September 2022 @ 10:47 PM