Kemalangan yang membabitkan Perodua Kancil dan Perodua Alza di Jalan Air Puteh, Serdang, Bandar Baharu, hari ini. FOTO ihsan bomba
Kemalangan yang membabitkan Perodua Kancil dan Perodua Alza di Jalan Air Puteh, Serdang, Bandar Baharu, hari ini. FOTO ihsan bomba
Azahar Hashim


ENAM cedera dalam kemalangan membabitkan dua kereta di Jalan Air Puteh, Serdang, Bandar Baharu, hari ini.

Dalam kejadian 9.20 pagi itu, pemandu Perodua Kancil berusia 42 tahun, patah kaki kanan manakala penumpang depan cedera di kepala dan kaki sementara dua remaja perempuan berusia 12 dan 14 tahun yang duduk di tempat penumpang belakang cedera di kepala.

Lelaki berusia 66 tahun dan wanita berumur 54 tahun yang menaiki Perodua Alza pula cedera ringan dalam kemalangan itu.

Ketua Polis Daerah Bandar Baharu Deputi Superintendan Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, siasatan mendapati Perodua Kancil dipandu wanita terbabit dari arah Lubuk Buntar ke Serdang sementara Perodua Alza dari arah bertentangan.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian, Perodua Kancil itu hilang kawalan selepas tayar hadapan pancit dan masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan Perodua Alza.

"Orang ramai yang menyaksikan kejadian itu menghubungi polis dan bomba.

"Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Kulim untuk menerima rawatan," katanya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kedah Penguasa Bomba Mohamad Mustakim Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu 9.25 pagi dan tiba di lokasi kejadian 24 minit kemudian.

"Seramai lapan anggota dan pegawai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serdang dikerahkan ke lokasi kejadian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 November 2017 @ 5:01 PM