KEADAAN kereta mangsa yang remuk selepas terbabit kemalangan dalam kejadian di Lebuh AMJ berhampiran Melaka Sentral. FOTO IHSAN BOMBA/POLIS.
KEADAAN kereta mangsa yang remuk selepas terbabit kemalangan dalam kejadian di Lebuh AMJ berhampiran Melaka Sentral. FOTO IHSAN BOMBA/POLIS.
Nuraliawati Sabri


Melaka: Sub-kontraktor maut selepas kereta dipandunya hilang kawalan dan terbalik dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di jalan Lebuh Alor Gajah- Melaka Tengah- Jasin (AMJ) berhampiran Melaka Sentral, di sini, hari ini.

Kejadian kira-kira jam 1.30 petang itu mengakibatkan mangsa Nordin Mohamed Yusop, 39, maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah dialami.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kemalangan itu membabitkan Perodua Kancil dipandu mangsa, Mercedes Benz, Perodua Axia serta Perodua Alza.

Beliau berkata, sebelum kejadian mangsa dikatakan memandu dalam perjalanan dari arah persimpangan lampu isyarat Bukit Palah menghala ke Melaka Sentral.

"Siasatan mendapati semasa melalui kawasan hadapan sebuah gedung tekstil kereta dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan lalu merempuh sebuah Mercedes Benz dipandu lelaki berusia 33 tahun yang ketika itu sedang berhenti menunggu lampu isyarat.

"Akibat daripada rempuhan itu, kenderaan terbabit kemudian berlanggar dengan dua lagi kereta di hadapannya iaitu Perodua Axia dan Perodua Alza," katanya.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka berkata, sebuah jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah bersama enam anggota dikejarkan ke lokasi kejadian untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduk hadapan dalam keadaan kereta yang terbalik.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Julai 2022 @ 8:37 PM